Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Dua remaja dilaporkan maut dalam kemalangan yang membabitkan tiga buah kenderaan di Jalan Sungai Ragok, Air Paabas, Alor Gajah, semalam.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintendan Arshad Abu berkata, kemalangan berlaku pada jam 2.35 petang yang mengorbankan pembantu kantin sekolah, Shahrul Effendi Sabtu, 23, dan Taufiq Ikhwan Akmal Abdullah, 15.
Siasatan mendapati, motosikal yang ditunggang oleh Taufiq Ikhwan hilang kawalan semasa cuba memotong sebuah kereta jenis Perodua Bezza yang dipandu oleh suri rumah berusia 23 tahun dari arah bandar Alor Gajah.
Mangsa bertembung dengan motosikal yang ditunggang Shahrul Effendi dari arah bertentangan. Pertembungan itu menyebabkan Taufiq tercampak ke kiri jalan dan dilanggar pemandu kereta berkenaan.
Kedua-dua penunggang motosikal terbabit meninggal dunia, manakala pemandu wanita tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Melaka untuk dibedah siasat. Kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
Polis meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu tampil untuk membantu siasatan.
Sumber: Harian Metro