Polis tunggu laporan toksikologi & bedah siasat kes kematian Yap Xin Yuan | The Reporter

Polis tunggu laporan toksikologi & bedah siasat kes kematian Yap Xin Yuan

laporan toksikologi dan bedah siasat

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis masih menunggu laporan toksikologi dan bedah siasat untuk menentukan punca kematian seorang remaja perempuan, Yap Xin Yuan, 15.

Ketua Polis Selangor, Komisioner Datuk Hussein Omar Khan, berkata laporan tersebut penting untuk mengenal pasti sama ada kematian Yap berpunca daripada salah faham yang bertukar menjadi pergaduhan atau ada kaitan dengan penggunaan dadah.

Menurut beliau, laporan toksikologi diperlukan untuk mengetahui sama ada mangsa menggunakan dadah, dan buat masa ini, pihak polis tidak dapat mengesahkan sama ada mangsa meninggal dunia akibat dos berlebihan.

Beliau turut menjelaskan laporan bedah siasat diperlukan untuk mengetahui punca kematian. Keadaan mayat yang ditemui dalam keadaan reput menyukarkan pihak patologi untuk menjalankan pemeriksaan.

Suspek negatif dadah

Datuk Hussein berkata siasatan menunjukkan kematian Yap dipercayai melibatkan teman lelakinya yang berusia 16 tahun. Polis sedang menyiasat sama ada berlaku pertelingkahan antara mereka atau kematian tersebut mempunyai kaitan dengan penggunaan dadah.

Siasatan juga melibatkan persoalan sama ada teman lelaki mangsa bertindak sendirian ketika membuang mayat atau mendapat bantuan daripada individu lain. Setakat ini, beliau menyatakan bahawa ketiga-tiga suspek yang ditahan, termasuk teman lelaki mangsa, didapati negatif dadah.

Tempoh reman akan disambung

Terdahulu, mayat Yap ditemui di RTB Sungai Changgang pada Sabtu, 28 Disember, dalam keadaan reput sehingga pengesahan identiti hanya dapat dibuat melalui ujian DNA. Tiga suspek, termasuk teman lelakinya yang berusia 16 tahun, serta dua individu lain berusia 20 dan 51 tahun, telah ditahan dan direman sehingga Ahad, 5 Januari.

Kes ini diklasifikasikan sebagai kes bunuh, selepas Yap dilaporkan hilang pada 19 Disember sejurus menghadiri latihan tarian singa di gelanggang bola keranjang di Batu 11 Cheras.

Ketua Polis Selangor memaklumkan bahawa polis dijangka memohon lanjutan reman terhadap suspek bagi meneruskan siasatan.

Sumber: The Star (Farik Zolkepli)

Related Posts