Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang lelaki berusia 20-an ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kes seorang gadis cedera akibat dilibas dengan objek tajam di Jalan Tangga Batu, Tanjung Kling, petang semalam.
Suspek ditahan di sebuah rumah berhampiran lokasi kejadian sekitar jam 10.30 malam dan akan direman di Kompleks Mahkamah Ayer Keroh pagi ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan. Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit mengesahkan penahanan itu.
Kejadian berlaku sekitar jam 4.45 petang ketika mangsa berusia 19 tahun membonceng motosikal yang ditunggang kakak iparnya dalam perjalanan pulang ke rumah di Batu 9 Tangga Batu. Kedua-duanya bekerja di sebuah kilang sarung tangan berhampiran.
Baca juga:
- Remaja hidap kanser tulang meninggal dunia, sempat hadiahkan telefon buat adik
- Dua lelaki ditahan bantu siasatan letupan mercun di Kulim
- Kes rogol di Kelantan meningkat, majoriti libatkan suka sama suka
Mangsa secara tiba-tiba mengadu sakit di bahagian belakang sebelum kakak iparnya melihat seorang lelaki menaiki Yamaha LC V8 berwarna biru gelap memecut laju meninggalkan tempat kejadian. Mangsa kemudian dibantu orang awam dan dibawa ke Hospital Melaka untuk rawatan.
Pemeriksaan doktor mendapati luka sepanjang tujuh sentimeter dan lebar tiga sentimeter di belakang pinggang mangsa, dipercayai akibat libasan objek tajam.
Siasatan awal mendapati mangsa berasal dari Tangkak, Johor dan baru tiga minggu bekerja di Melaka. Dia juga memaklumkan tidak mempunyai sebarang perselisihan faham atau kenalan di negeri itu.
Polis masih menyiasat motif serangan dan meminta orang awam yang mempunyai maklumat tampil membantu siasatan dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-2638 3960.
Sumber: Harian Metro