Polis siasat kenderaan persendirian guna siren, lampu biru | The Reporter

Polis siasat kenderaan persendirian guna siren, lampu biru

Polis menyiasat kenderaan persendirian pasang siren dan lampu biru di lebuh raya
Tangkap layar video tular di Facebook.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Polis sedang menjalankan siasatan berhubung satu video yang tular di Facebook memaparkan sebuah kenderaan persendirian memasang lampu berkelip biru berserta siren untuk memotong barisan ketika kesesakan jalan raya, dipercayai berlaku di Lebuh Raya Maju Expressway (MEX),kelmarin.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd. Zamzuri Mohd. Isa, berkata setakat ini pihak polis belum menerima sebarang laporan rasmi mengenai kejadian tersebut.

Beliau berkata, penelitian terhadap video yang tular juga tidak dapat memastikan nombor pendaftaran kenderaan yang terlibat.

“Semakan pada ruangan komen juga turut tidak menemukan sebarang maklumat berkaitan nombor pendaftaran kenderaan berkenaan,” katanya.

Beliau menjelaskan, perbuatan yang dipaparkan dalam video itu dipercayai melibatkan kesalahan di bawah Kaedah 138(1), Kaedah-Kaedah Kenderaan Motor (Pembinaan dan Penggunaan) 1959, iaitu larangan pemasangan lampu amaran berkelip pada kenderaan selain kenderaan kecemasan yang dibenarkan.

“Jika disabit kesalahan, individu terlibat boleh dituduh di bawah Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM2,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan. Sekiranya terdapat unsur menyamar sebagai penjawat awam, kes juga boleh disiasat mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali,” tambahnya.

Baca juga:

Sehubungan itu, Mohd. Zamzuri meminta orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian untuk menyalurkan maklumat kepada pihak polis bagi membantu siasatan.

“Saksi atau individu yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran,” ujarnya.

Sumber: Kosmo

Related Posts