Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis mempunyai kuasa untuk memeriksa telefon bimbit orang awam sekiranya terdapat syak wasangka atau maklumat berhubung individu yang disyaki terlibat dalam jenayah, jelas Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain.
Menurutnya, kuasa ini termaktub di bawah Seksyen 23 (1) Kanun Prosedur Jenayah bagi memastikan tiada sebarang komunikasi berunsur lucah, mengugut, atau mengancam orang lain.
Beliau turut menjelaskan, perkara tersebut disokong oleh Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 serta Seksyen 249 AKM yang memberikan kuasa untuk mengakses data berkomputer, termasuk telefon bimbit.
“Dalam Kanun Prosedur Jenayah, Seksyen 116B juga membolehkan telefon bimbit yang dikategorikan sebagai data berkomputer diperiksa jika seseorang disyaki terlibat dalam jenayah,” katanya.
Namun, Razarudin menegaskan bahawa kuasa ini hanya diberikan kepada pegawai polis berpangkat Inspektor ke atas.
Kuasa perlu digunakan berhemah
Mengulas video tular yang mempertikaikan tindakan polis memeriksa telefon bimbit semasa sekatan jalan raya, beliau menyatakan, tindakan tersebut sah dari segi undang-undang tetapi mesti dilakukan dengan berhemah dan berdasarkan sebab munasabah.
“Tiada pihak boleh mempertikaikan kuasa memeriksa telefon bimbit, tetapi ia mesti selari dengan peruntukan undang-undang sedia ada,” jelasnya.
Beliau turut memaklumkan bahawa bahan lucah yang ditemui dalam telefon bimbit boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, manakala aplikasi judi dalam talian pula dianggap melanggar Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Keengganan kerjasama boleh bawa penahanan
Razarudin menambah, polis boleh memeriksa telefon bimbit tanpa waran jika terdapat sebab munasabah untuk percaya bahawa kelewatan mendapatkan waran boleh menjejaskan siasatan.
“Telefon bimbit yang diambil mesti bertujuan membantu siasatan berkaitan kes tertentu. Keengganan memberi kerjasama pula boleh menyebabkan individu ditahan kerana menghalang tugas polis,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa tindakan ini hanya dilakukan jika ada laporan polis, siasatan dijalankan, atau jika polis mempunyai syak yang kukuh terhadap seseorang.
Sumber: Bernama








