Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Cadangan membenarkan kemasukan murid berusia enam tahun ke Tahun Satu disifatkan baik dari sudut prinsip dan selari dengan piawaian antarabangsa. Namun, keperluan ujian kelayakan sebelum kemasukan mencetus kebimbangan kerana berpotensi menyingkirkan kanak-kanak daripada sistem persekolahan selama setahun serta mewujudkan kesan psikologi negatif.
Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata masalah timbul apabila dasar tersebut disusuli pengumuman tambahan yang mewajibkan kanak-kanak lulus ujian kelayakan sebelum boleh memasuki Tahun Satu pada usia enam tahun.
Risiko kehilangan setahun pembelajaran
Menurut Syed Saddiq, kegagalan melepasi ujian itu bermakna kanak-kanak berkenaan akan terkeluar daripada sistem persekolahan selama 12 bulan, sekali gus berdepan risiko kehilangan pembelajaran. Keadaan ini berbeza dengan kelas pemulihan, di mana murid masih berada dalam sistem sekolah dan boleh menerima intervensi serta sokongan guru.
Beliau turut merujuk panduan UNESCO yang menyokong kemasukan awal ke sekolah rendah, namun menolak ujian saringan awal kerana ia boleh memisahkan kanak-kanak mengikut kebolehan pada usia terlalu muda dan memberi kesan psikologi jangka panjang.
Baca juga:
- KUSKOP bantu 5 syarikat Malaysia raih urus niaga RM2 bilion di Arab Saudi
- Menteri tegur layanan kurang mesra rakyat kepada pelancong
- Ikan mati secara tiba-tiba di Sungai Ramal, lelaki dakwa berlaku pencemaran
Syed Saddiq menegaskan ujian diagnostik atau kelayakan pada peringkat awal berisiko melabel kanak-kanak sebagai “kurang bijak” atau tidak layak, sedangkan perkembangan kanak-kanak berlaku pada kadar berbeza. Justeru, beliau mencadangkan dasar kemasukan usia enam tahun diteruskan, tetapi tanpa ujian kelayakan yang berpotensi mendiskriminasi.
Perdana Menteri setuju ujian ditiadakan
Menjawab perkara itu, Perdana Menteri merangkap Ahli Parlimen Tambun, Anwar Ibrahim, berkata kerajaan bersetuju dengan pandangan tersebut. Beliau memaklumkan Menteri Pendidikan telah mencadangkan supaya ujian diagnostik itu ditiadakan selepas penelitian semula dibuat.
Anwar menjelaskan bahawa walaupun cadangan awal bertujuan menyediakan satu bentuk penilaian sebelum kemasukan sekolah, ia didapati boleh membawa kesan diskriminasi dan psikologi kepada kanak-kanak jika diteruskan. Atas sebab itu, kerajaan memilih untuk menghapuskan ujian berkenaan bagi mengelakkan pelabelan awal terhadap murid.








