Sukan Paralimpik Paris 2024 telah membuka tirai pada beberapa hari lalu bermula 28 Ogos sehingga 08 September 2024.
Atlet olahraga negara, Eddy Bernard menyumbang pingat gangsa pertama menerusi acara 100 meter (m) lelaki T44 (kecacatan fizikal) di temasya Sukan Paralimpik Paris 2024 di Stade de France.
Dalam acara tersebut, pingat emas diperoleh atlet dari Afrika Selatan Mpumello Mhlongo dan pingat perak menjadi milik atlet Cuba,Yamel Luis Vives Suares.
Masing-masing mencatatkan masa 11.12s dan 11.20s manakala Eddy Bernard dengan catatan masa 11.58 saat (s).
Menerusi satu laporan, Eddy yang berasal dari Sabah itu berlari di lorong ketiga bermula dengan baik di awal perlumbaan namun kehilangan sedikit momentum di tengah saingan sebelum berjaya melintasi garisan penamat.
Eddy turut memecahkan rekod Asia milik atlet dari Sri Lanka, Indika Gamage iaitu 11.75s pada Kejohanan Olahraga Para Dunia 2024 di Kobe, Jepun.
Catatan masa yang diperoleh Eddy juga dalam sukan paralimpik pada kali ini juga mengatasi catatan masa peribadi terbaiknya iaitu 11.77s ketika membawa pulang pingat perak pada kejohanan di Kobe itu.
Sumber: Berita Harian