Pesawat Air India ke London terhempas di Ahmedabad, ramai terkorban | The Reporter

Pesawat Air India ke London terhempas di Ahmedabad, ramai terkorban

Detik pesawat Air India terbang rendah sebelum terhempas dan meletup di Ahmedabad
Pesawat Air India menuju ke London terhempas di Ahmedabad sejurus berlepas, letupan besar berlaku di kawasan perumahan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Sebuah pesawat Air India yang dalam perjalanan ke London terhempas sejurus selepas berlepas dari Lapangan Terbang Ahmedabad, India, pada Khamis. Pesawat jenis Boeing 787-8 Dreamliner itu membawa 242 orang termasuk 11 kanak-kanak. Menteri Kesihatan India mengesahkan ramai yang maut dalam insiden tersebut.

Pesawat itu dilaporkan menjunam ke kawasan perumahan berdekatan lapangan terbang dan merempuh bangunan asrama doktor. Operasi menyelamat giat dijalankan dan pihak berkuasa memaklumkan 70 hingga 80 peratus kawasan kejadian telah dibersihkan.

Apa berlaku sebelum pesawat terhempas?

Menurut laman penjejak penerbangan Flightradar24, pesawat dengan nombor pendaftaran VT-ANB itu berlepas pada jam 1.39 petang waktu tempatan dari landasan 23 dan sempat membuat panggilan kecemasan “Mayday.” Namun, selepas itu tiada lagi isyarat diterima daripada pesawat.

Saluran televisyen tempatan menyiarkan rakaman pesawat itu terbang rendah di kawasan perumahan sebelum hilang daripada pandangan dan api besar menyambar langit. Visual lain menunjukkan serpihan terbakar, asap tebal serta mangsa dibawa keluar dengan pengusung ke ambulans berhampiran.

Air India memaklumkan pesawat tersebut membawa 217 dewasa dan 11 kanak-kanak. Daripada jumlah itu, 169 merupakan warga India, 53 warga Britain, tujuh warga Portugal dan seorang warga Kanada.

Reaksi awal kerajaan India dan Britain

Pejabat Perdana Menteri India, Narendra Modi, mengarahkan agensi berkaitan memberikan bantuan segera kepada operasi menyelamat. Lapangan Terbang Ahmedabad yang dikendalikan oleh Adani Group telah menghentikan semua penerbangan serta-merta.

Sementara itu, kerajaan Britain dalam kenyataan di laman web rasminya berkata, mereka sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa India untuk mendapatkan maklumat lanjut dan menyediakan bantuan kepada warga mereka yang terlibat.

Air India yang dahulunya milik kerajaan India telah diambil alih oleh Tata Group pada tahun 2022 dan digabungkan dengan Vistara pada 2024. Tata memaklumkan mereka telah menubuhkan pusat kecemasan serta pasukan sokongan khas untuk membantu keluarga mangsa.

Kali terakhir India merekodkan nahas pesawat maut adalah pada 2020, apabila pesawat Air India Express tergelincir dari landasan di Kozhikode dan menyebabkan 21 orang terkorban.

Sumber: Reuters

Related Posts