Perlembagaan NAFAS digantung, berkuatkuasa hari ini | The Reporter

Perlembagaan NAFAS digantung, berkuatkuasa hari ini

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Perlembagaan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS), telah digantung berkuatkuasa pada hari ini.

Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Amir Matamin berkata selaku Pendaftar Pertubuhan Peladang, beliau mengeluarkan arahan itu di bawah Seksyen 20 (1) Akta Pertubuhan Peladang 1973 (Akta 109), susulan konflik dalaman dan ketidakharmonian yang telah menjejaskan operasi dan fungsi NAFAS.

“Dengan perintah yang dikuatkuasakan hari ini, NAFAS mempunyai hak selaras dengan Seksyen 21 Akta Pertubuhan Peladang untuk merayu kepada Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu dalam tempoh 30 hari daripada tarikh perintah ini.

“Pendaftar akan melantik pentadbir dan beberapa jawatankuasa bagi mengawasi tadbir urus di NAFAS dan membuat penyiasatan terhadap pengurusan, tatakelola serta rekod kewangan.

“Penggantungan itu berkuatkuasa 1 November 2024, sehingga penarikan balik yang akan dimaklumkan kelak,” katanya.

Keputusan muktamad

Bagaimanapun katanya, keputusan menteri adalah muktamad dan tidak boleh dirayu atau dipersoalkan di mana-mana mahkamah.

“Semasa tempoh penggantungan, NAFAS akan diurus dan ditadbir oleh pentadbir-pentadbir yang akan dilantik untuk mengurus hal ehwal NAFAS.

“Oleh itu, NAFAS masih terus beroperasi seperti biasa dengan kakitangan dan pegawai sedia ada. Pentadbir akan melaksanakan tatakelola yang baik dalam proses pemulihan semula selaras dengan objektif untuk kepentingan peladang,” katanya.

Dalam pada itu, Amin menjelaskan konflik dan ketidakharmonian mula timbul apabila pihak Jemaah Pengarah membelakangi keputusan-keputusan pendaftar dengan bertindak sendiri mengeluarkan kenyataan-kenyataan media sebelum merujuk kepada pendaftar.

“Tindakan yang akan diambil termasuklah mengosongkan jawatan.

“Dalam tempoh penggantungan, Ahli Jemaah Pengarah tidak dipecat, mereka hanya digantung sementara sahaja. Dalam tempoh ini mereka perlu bertenang dan menyerahkan kuasa kepada pendaftar untuk mentadbir,” katanya.

Sumber: Berita Harian, Pertubuhan Peladang

Related Posts