Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Akaun TikTok milik pempengaruh CEO Batu yang pernah mengumpul lebih 1.6 juta pengikut telah disekat, dipercayai ada kaitan dengan siasatan polis berhubung dakwaan penghantaran mesej dan gambar lucah kepada seorang remaja perempuan berusia 14 tahun.
Tidak lama selepas dibebaskan dengan jaminan polis pada 27 Mei lalu, timbul pula satu akaun TikTok baharu yang didakwa dikendalikan oleh pempengaruh itu sendiri. Namun, sehingga kini belum ada sebarang pengesahan rasmi bahawa akaun tersebut benar-benar miliknya.


“Semua usaha selama 4 tahun jadi sia-sia kerana tersilap langkah. Semoga diberikan peluang untuk berubah kerana tiada manusia yang sempurna mahupun suci,” kenyataan yang tertera di hantaran pertama di akaun tersebut.
Apa yang lebih mengejutkan, tinjauan di ruangan komen pada video yang dimuat naik oleh akaun itu mendapati ramai netizen masih memberikan sokongan, seolah-olah kes yang sedang berlaku bukan satu isu besar.
“Kesilapan dia buat memang salah. Tapi jangan hina dia seolah kita tak pernah buat salah. Kita sama je pendosa, cuma Allah tutup aib kita,” tulis seorang pengguna bernama, MATDIL, yang menerima ratusan tanda suka.
Seorang lagi netizen menulis dengan nada amaran, “Kalau korang kecam CEO Batu, pastu dia tak maafkan. Merangkaklah korang kat Padang Mahsyar nanti ye.”
Kes disiasat bawah akta jenayah seksual terhadap kanak-kanak
CEO Batu kini disiasat di bawah Seksyen 15(e) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017, berkaitan dakwaan menghantar kandungan tidak senonoh kepada mangsa bawah umur melalui media sosial. Kejadian itu dikatakan bermula sejak awal Mei. Dia ditahan reman selama lima hari sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Pada 29 Mei, polis mengesahkan kertas siasatan telah diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut.
Risiko normalisasi salah laku oleh pempengaruh
Sokongan terbuka terhadap individu yang sedang disiasat atas jenayah serius seperti ini menimbulkan kebimbangan dalam kalangan masyarakat, khususnya apabila pelakunya ialah pempengaruh media sosial.
Penggunaan hujah seperti ‘jangan aibkan orang’, ‘semua orang berdosa’ dan ‘taubat diterima Allah’ tidak sepatutnya digunakan untuk menutup perbuatan yang melibatkan pelanggaran undang-undang.
“Taubat itu urusan dia dengan Tuhan. Tapi perbuatan dia tetap perlu diadili secara sah. Kita tak boleh normalisasikan jenayah atas nama taubat,” kata seorang netizen.
Sementara kes masih dalam siasatan, sikap sesetengah pihak yang terus menyokong tanpa mengambil kira hak dan maruah mangsa dilihat boleh merosakkan nilai keadilan dan kesedaran sosial.








