Penyanyi lagu Pretty Little Baby, Connie Francis meninggal dunia | The Reporter

Penyanyi lagu Pretty Little Baby, Connie Francis meninggal dunia

Connie Francis meninggal dunia pada usia 87 tahun.
Conny Rancis meninggal dunia pada usia 87 tahun. Gambar: FB People

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Connie Francis, 87, penyanyi lagenda yang dikenali dengan lagu malar segar Pretty Little Baby yang kembali tular baru-baru ini, dilaporkan telah meninggal dunia pada Khamis. Pemergiannya berlaku hanya beberapa minggu selepas mendedahkan di media sosial bahawa beliau dimasukkan ke hospital akibat kesakitan yang teramat.

Perkhabaran itu dimaklumkan oleh presiden syarikat rakaman milik penyanyi berkenaan Concetta Records, Ron Roberts, yang juga sahabat rapat Francis menerusi Facebook.

“Dengan hati yang berat dan dukacitanya, saya ingin memaklumkan bahawa sahabat baik saya Connie Francis telah meninggal dunia malam tadi. Saya tahu Connie pasti akan bersetuju agar para peminatnya menjadi antara yang terawal mengetahui berita sedih ini. Maklumat lanjut akan dikongsikan kemudian,” katanya.

Francis kekal sebagai antara artis wanita paling disayangi dalam generasinya. Dilahirkan sebagai Concetta Franconero di Newark, New Jersey, pada tahun 1937, beliau memulakan kerjaya seni sebagai penghibur kanak-kanak yang menyanyi dan bermain akordion.

Pada tahun 1955, Francis menandatangani kontrak sebagai penyanyi di bawah label MGM Records. Namun, hanya pada tahun 1957 beliau meraih kejayaan besar menerusi carta Billboard dengan lagu “Who’s Sorry Now.”

Kejayaan Francis

Francis terus mencipta nama dengan lagu-lagu seperti “My Happiness” (1958) dan “My Heart Has a Mind of Its Own” (1960). Beliau turut mencipta kejayaan di layar perak apabila merakamkan lagu tema popular untuk filem Where the Boys Are pada tahun 1960.

Namun, apabila citarasa muzik mula berubah pada era 1960-an, Francis mengambil keputusan untuk berehat daripada bidang seni.

Tinggalkan dunia nyanyian

Beliau menjauhkan diri daripada dunia hiburan, dan diuji lagi dengan tragedi pada tahun 1981 apabila adiknya, George Franconero Jr., dibunuh. Tiga tahun kemudian, Francis cuba membuat kemunculan semula, namun usahanya dihambat dengan isu kesihatan mental yang berpanjangan.

Dalam satu temu bual bersama The Village Voice pada tahun 2011, Francis mengakui bahawa beliau telah dimasukkan ke institusi kesihatan mental sebanyak 17 kali dalam tempoh sembilan tahun di lima negeri berbeza. Katanya, dia telah mengalami gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) susulan peristiwa dahsyat dalam hidupnya.

Beliau kemudiannya menjadi aktivis untuk hak mangsa jenayah ganas dan kesedaran mengenai kesihatan mental. Kisah hidupnya yang penuh duka dan kebangkitan telah dikongsikan menerusi dua buah autobiografi — Who’s Sorry Now? dan Among My Souvenirs: The Real Story Vol. 1.

Sumber: Parade

Related Posts