Perjalanan seorang lelaki untuk menyertai Himpunan RXZ Members 8.0 di Kuala Terengganu berakhir dengan tragedi apabila dia maut selepas terbabit dalam kemalangan di Kilometer 112.3 Lebuhraya Pantai Timur (LPT) menghala ke Kuantan, malam Khamis.
Mangsa, Muhammad Zulhairi Azhar Mohd. Shahrizan, 19, dari Kampung Sungai Udang, Klang, Selangor, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas motosikal Yamaha LC135 yang ditungganginya terlibat dalam kemalangan dengan sebuah Perodua Myvi.
Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd. Nasyim Bahron berkata, mangsa ketika itu sedang dalam perjalanan dari Klang ke Kuala Terengganu bersama empat lagi penunggang motosikal bagi menghadiri Himpunan RXZ Members 8.0.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terjatuh di lorong kiri lebuh raya. Keadaan itu menyebabkan mangsa tercampak ke lorong kanan.
Baca juga:
- Juruterbang Malaysia ditahan di Jakarta, disyaki seludup 25kg dadah
- ‘Janganlah kegembiraan kita menjadi kesusahan kepada orang lain’ – Dr Zulkifli
- Penunggang motosikal maut ketika konvoi ke Himpunan RXZ Members 8.0
Menurutnya, sebuah Perodua Myvi yang dipandu seorang wanita berusia 23 tahun di lorong kanan gagal mengelak mangsa yang tercampak ke laluannya sebelum merempuhnya. Impak rempuhan itu menyebabkan mangsa tercampak semula ke bahu jalan di sebelah kiri.
“Mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Pemeriksaan lanjut turut mendapati mangsa tidak mempunyai lesen motosikal ketika kejadian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian, Utusan Malaysia









