Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Video berdurasi 27 saat tular di media sosial memaparkan insiden tragis seorang pembantu stor maut apabila motosikal Yamaha LC135 yang ditungganginya dirempuh sebuah kereta Perodua Axia di Persiaran Putra Perdana, Subang Jaya, kelmarin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 5.20 petang ketika mangsa, lelaki tempatan berusia 37 tahun, berhenti di persimpangan lampu isyarat untuk membelok ke kanan.
“Siasatan awal mendapati mangsa datang dari arah Subang Jaya menuju Putra Height sebelum dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta Perodua Axia.
“Mangsa disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan, manakala pemandu kereta tidak mengalami kecederaan,” katanya.
Pemandu kereta berusia 27 tahun yang bekerja sebagai pereka dalaman telah ditahan reman selama sehari semalam sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.
Siasatan lanjut sedang dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 untuk mengenal pasti punca sebenar kemalangan tersebut.
Sumber: Harian Metro








