Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Dua individu maut dalam satu kemalangan melibatkan sebuah motosikal berkuasa tinggi dan kenderaan jenis Perodua Kembara di Kilometer 11, Jalan Pan Borneo, pada Ahad pagi.
Ketua Polis Daerah Papar, Superintenden Kamaruddin Ambo Sakka berkata, kejadian yang berlaku sekitar jam 8.50 pagi itu meragut nyawa seorang penunggang motosikal berusia 34 tahun dan seorang pemandu warga emas berusia 75 tahun.
Kedua-dua mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah.
Siasatan awal mendapati, penunggang motosikal terbabit sedang dalam perjalanan pulang ke Keningau selepas menghadiri Festival Pemotoran Berkuasa Besar Antarabangsa Pulau Borneo (BIIBBF) di Kota Kinabalu, dan berada di lorong laju semasa kejadian berlaku.
Sebuah kenderaan yang berada di lorong bertentangan dilaporkan membuat pusingan U secara tiba-tiba, mengakibatkan pelanggaran dengan motosikal yang dipandu mangsa.




“Akibat daripada kemalangan tersebut, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh petugas perubatan dari Hospital Papar,” katanya.
Mayat kedua-dua mangsa telah dihantar ke Unit Forensik bagi tujuan pengecaman dan bedah siasat. Pihak polis kini sedang menyiasat kes ini di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya sehingga menyebabkan kematian.








