Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Penjual jagung yang mencetuskan kontroversi selepas meletakkan notis berunsur perkauman terhadap kaum India akhirnya tampil memohon maaf atas kesilapannya.
Baca: Penjual jagung tulis nota rasis dikecam netizen
Individu dikenali sebagai Abdul Aziz Musa menegaskan bahawa dia tidak berniat untuk menghina sesiapa dan mengakui kesilapan yang telah menyinggung perasaan masyarakat India.

“Saya peniaga kecil, ada berlaku kesilapan daripada saya berhubung notis tersebut yang telah menyinggung perasaan kaum India dengan perkataan yang tidak baik itu.
“Jadi saya mengaku bersalah dan saya meminta maaf kepada seluruh rakyat Malaysia, terutama sekali kepada kaum India.
“Perkara ini berlaku tanpa niat, tiada kesedaran dan perbuatan saya ini adalah salah,” katanya dalam video permohonan maaf yang dibuat pada malam Ahad di Sepang.

Permohonan maaf itu dibuat menerusi satu pertemuan yang diatur oleh pemimpin kawasan rukun tetangga, bertujuan untuk menyelesaikan polemik ini secara harmoni demi memastikan perpaduan negara terus terpelihara.
Terdahulu, isu ini telah mencetuskan kecaman netizen selepas notis yang diletakkan di gerainya menjadi tular, sehingga menarik perhatian Menteri Perpaduan, Datuk Aaron Ago Dagang, yang menegaskan bahawa tindakan atau kenyataan yang menggugat keharmonian kaum tidak boleh dikompromi.