Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Remaja lelaki berusia 14 tahun yang terlibat dalam kejadian tikaman maut di SMK Bandar Utama Damansara 4 didakwa atas pertuduhan membunuh di Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Selasa (22 Oktober).
Mahkamah turut memerintahkan remaja berkenaan menjalani penilaian psikiatri selama sebulan di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Tanjung Rambutan, Perak.
Penilaian psikiatri mungkin dilanjutkan hingga tiga bulan
Peguam Kitson Foong, yang hadir sebagai penasihat mahkamah berkata, permohonan untuk menjalani penilaian psikiatri dibuat oleh peguam bela tertuduh bagi menentukan keadaan mentalnya ketika kejadian berlaku.
Laporan awal dijangka siap pada 1 November, namun tempoh penilaian boleh dilanjutkan sehingga tiga bulan sekiranya pakar memerlukan masa tambahan.
“Kes ini tidak akan selesai dalam tempoh sebulan. Laporan penuh boleh mengambil masa antara satu hingga tiga bulan,” katanya kepada media di luar Mahkamah Majistret Petaling Jaya.
Baca juga:
- ‘Desakan letak jawatan bukan tanda gagal, tapi panggilan untuk buat lebih baik’ – Fadhlina
- Sempat makan bersama anak-anak, lelaki meninggal dunia sehari selepas keluar hospital
- PDRM sahkan waran tangkap terhadap Adlan Berhan telah dikeluarkan
Foong turut memaklumkan tertuduh hadir bersama ibu bapanya dan kelihatan tenang semasa pertuduhan dibacakan dalam bahasa Mandarin. Sebagai pesalah juvana, dia tidak digari dan tiada keperluan untuk membuat pengakuan bersalah atau tidak bersalah kerana kes tersebut akan dibicarakan di Mahkamah Tinggi.
“Dalam keadaan dia, dia juga mangsa”
Foong turut menyifatkan bahawa semua pihak dalam kes ini adalah mangsa, termasuk tertuduh sendiri.
“Saya tahu memang ada nyawa yang terkorban, tetapi dalam keadaan tertuduh, dia juga merupakan mangsa,” katanya memetik laporan China Press.
Beliau menambah, penilaian psikiatri ini penting bagi mendapatkan pandangan pakar dan memahami sepenuhnya faktor yang mungkin mendorong kepada tindakan tersebut.
Permohonan berkenaan dikemukakan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah, yang membolehkan mahkamah mengarahkan siasatan atau perbicaraan terhadap tertuduh yang disyaki tidak waras.
Sumber: China Press, World of Buzz