Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Satu rakaman tular CCTV merakamkan tindakan seorang wanita yang dipercayai pelancong dari China membuang air besar di pekarangan inap desa di Kea Farm, Cameron Highland.
Tindakan wanita tersebut disifatkan sebagai pengotor dan menjijikkan.
Menerusi rakaman tersebut, dua orang wanita sedang berjalan keluar dari inap desa berkenaan sebelum salah seorang dari mereka (wanita berbaju putih) secara tiba-tiba bertindak melondehkan seluarnya lalu membuang air besar di tengah jalan.
Melihat rakannya bertindak demikian, wanita yang berbaju ungu pula bertindak melindungi rakannya dengan menutup menggunakan sehelai kain.
Situasi tersebut telah menimbulkan rasa marah dalam kalangan penduduk di situ.
Menurut seorang penduduk, Mohd. Hisham Rahman, 35, tindakan wanita itu mencemarkan imej pelancong dari China yang berkelakuan baik di destinasi pelancongan popular di Pahang tersebut.
“Disebabkan seorang wanita buat hal, yang lain-lain pun sama terkena tempiasnya. Mustahil tiada tandas di lokasi tersebut apatah lagi mereka berada betul-betul di pekarangan sebuah homestay.
“Tidak munasabah sekiranya pemilik homestay itu enggan membenarkan wanita berkenaan menggunakan tandas sekiranya dia benar-benar memerlukannya,” katanya.
Sementara itu, Nurul Aina Natasya Isa, 29, pula berkata, rakan wanita tersebut yang dilihat cuba melindungi pandangan CCTV ketika rakannya membuang air besar disifatkan sebagai turut sama ‘pendek akal’.
Katanya, kedua-dua wanita tersebut yang dilihat masih muda seolah-olah memberi gambaran bahawa rata-rata pelancong dari China tidak malu membuang air besar di kawasan terbuka.
“Jika sebelum ini kita dengar dan lihat video sedemikian yang berlaku di luar negara, kali ini berlaku di Cameron Highlands sahaja. Ia memberi imej tidak baik terhadap China,” katanya.
Sumber: KOSMO! ONLINE, X