Artificial Intelligence (AI) atau kecerdasan buatan dilihat sudah mendominasi setiap perkara. Kewujudan AI ada yang membawa kepada kebaikan dan tidak kurang juga telah memberikan kesan sebaliknya.
Mengulas isu ini juga, pengasas dan penerbit majalah Gila-Gila, Jaafar Taib meluahkan rasa kesal dengan penerbitan majalah terbaharu Gila-Gila yang menggunakan teknologi AI.
Menerusi hantaran di Facebook, seni merupakan satu ekspresi jiwa manusia yang tidak mungkin dapat digantikan dengan mesin.
“Berhubung isu AI dalam Gila-Gila ni, saya nak meluahkan sedikit keresahan yang bersarang di hati saya yang dah makin dimamah usia.
“Selama lebih 60 tahun, saya telah mendedikasikan hidup saya untuk dunia seni. Dari zaman melukis potret keluarga di jalanan sehinggalah ke era digital yang serba canggih ini, saya dah lalui pelbagai onak dan duri dalam perjalanan sebagai seorang seniman.
“Saya dah rasa setiap tekstur kanvas, setiap kelembutan berus, setiap percikan warna yang jatuh ke atas kertas. Setiap karya yang dihasilkan, bukan sekadar lukisan, tapi merupakan sebahagian daripada diri saya, terpancar dari pengalaman, jiwa, dan keringat yang dicurahkan.
“Waktu teknologi digital mula bertapak dalam dunia seni, saya akui, saya antara yang paling skeptikal. Saya ni memang seorang yang sangat konservatif. Bagi saya, seni adalah ekspresi jiwa manusia yang tak mungkin dapat digantikan oleh mesin,” tulisnya.
Terima perubahan
Bagimanapun, dia mengakui terima perubahan berkenaan dengan hati terbuka.
“Namun, masa terus berlalu dan dunia seni turut berubah. Saya saksikan sendiri bagaimana anak-anak didik saya, kartunis dan pelukis yang pernah berguru dengan saya, berjaya mencipta nama dalam era digital ini. Akhirnya, saya terima perubahan itu dengan hati yang terbuka, melihatnya sebagai satu evolusi dalam dunia seni yang tak dapat dielakkan.
“Kehadiran AI art ni bukan sekadar satu evolusi, tetapi satu revolusi yang menggugat segala yang saya percayai tentang seni. Jika seni digital masih mengekalkan sentuhan dan kreativiti manusia, AI pula seolah-olah mencabar takhta itu,” katanya.
Impak AI dalam industri
Dalam pada itu dia turut menyatakan kerisauan dengan impak AI dalam industri seni.
“Risau jika suatu hari nanti, mesin-mesin ini akan menggantikan tangan-tangan kreatif yang selama ini menjadi nadi seni kita.
“Risau jika bakat dan kemahiran yang telah saya asah selama enam dekad ini menjadi tidak relevan, dibayangi oleh kepintaran buatan yang boleh menghasilkan karya dalam sekelip mata. Risau jika AI ini hanya akan dimanfaatkan oleh golongan tertentu untuk mengaut keuntungan, meninggalkan para seniman tempatan di belakang.
“Saya bukan anti-teknologi; jauh sekali. Saya percaya teknologi boleh menjadi alat yang sangat berguna dalam memperkayakan seni. Namun, kita perlu berhati-hati. Jangan sampai kita diperbodohkan oleh ciptaan kita sendiri. Jangan sampai kita hilang jati diri dan nilai-nilai murni dalam seni hanya kerana mengejar kemajuan teknologi semata-mata,” katanya.
Sumber: Jaafar Taib








