‘Nak beli susu anak, bayar sewa rumah pun pinjam along’ – Pengasas Hausboom dedah zaman gelap | The Reporter

‘Nak beli susu anak, bayar sewa rumah pun pinjam along’ – Pengasas Hausboom dedah zaman gelap

Azri Zahier Azmi berkongsi kisah peritnya ketika mencari modal perniagaan.
Azri Zahier Azmi dedah detik sukar meminjam along demi keluarga dan perniagaan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pengasas Hausboom, Azri Zahier Azmi, mendedahkan kisah getirnya ketika awal membina perniagaan, di mana beliau terpaksa meminjam wang daripada along demi kelangsungan hidup dan membesarkan anak yang baru lahir.

Bertahan dalam keperitan

Dalam hantaran di Facebook, Azri berkongsi detik paling sukar dalam hidupnya, di mana bukan sahaja modal perniagaan sukar diperoleh, malah wang untuk membeli susu anak dan membayar sewa rumah pun perlu dipinjam daripada pemberi pinjaman tidak berlesen.

“Aku tulis ini sambil menangis. Demi Allah, ini zaman gelap yang aku sebenarnya tidak ingin kenang. Anak baru lahir, hendak beli susu anak, hendak bayar sewa rumah pun aku pinjam along dulu. Peritnya waktu ni, Allah sahaja yang tahu,” luahnya, memetik laporan Sinar Harian.

Azri berkata, kisah ini tidak pernah diceritakan kepada ahli keluarga sebelum ini, tetapi selepas menerima kecaman dalam sebuah podcast di mana ada yang mendakwa kejayaannya berpunca daripada ‘cable’ atau bantuan kewangan keluarga, beliau merasakan perlu untuk berkongsi perjalanan getirnya agar orang ramai lebih memahami realiti sebenar dunia keusahawanan.

Perjalanan getir, bukan kerana ‘cable’

Pendedahan itu dibuat selepas timbul spekulasi bahawa kejayaannya dalam perniagaan adalah hasil bantuan keluarga. Namun, Azri menafikan dakwaan tersebut, menegaskan bahawa modalnya datang daripada pelbagai sumber termasuk pinjaman daripada rakan-rakan yang dipercayai.

“Yang aku ada ialah sahabat-sahabat sejati. Mereka ini, aku kawan dari tadika sampai sekarang. Kebanyakan mereka pekerja kerajaan yang lebih mudah mendapatkan pinjaman. Ada juga yang bekerja sebagai pemandu lori sampah, kakitangan pusat zakat Perak, pembantu perubatan, malah ada yang pinjamkan wang ibu mereka untuk aku,” jelasnya.

Menurutnya, rakan-rakannya itu sama-sama mengumpulkan dana dan memberinya pinjaman sebagai modal untuk meneruskan perniagaan.

Bermacam kerja dilalui sebelum Hausboom

Untuk memastikan kelangsungan Hausboom sekitar 2016 hingga 2017, Azri tidak bergantung pada satu sumber pendapatan.

“Aku banyak buat job trading untuk beranakkan modal. Dari jual kelapa, jual kambing, jual ikan, tanam dan jual sayur, jual santan, sehinggalah perniagaan barang-barang minyak dan gas. Dalam masa yang sama, aku mengusahakan kedai makan,” katanya.

Beliau juga mengakui sedar akan hukum riba dan sudah melakukan taubat nasuha, memohon keampunan kepada Allah atas tindakan terdesaknya ketika itu.

Related Posts