Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Syarikat pengeluar produk tenusu tempatan, Farm Fresh Berhad, mengesahkan pengarah ladangnya, Jacob Mathan, meninggal dunia dalam nahas helikopter pada jam 7.20 pagi Selasa di Pililla, Wilayah Rizal, Filipina.
Helikopter jenis Bell 505 itu dilaporkan mengalami masalah enjin ketika dalam perjalanan ke sebuah tapak ladang, sebelum melakukan pendaratan cemas di kawasan tanah kosong.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Farm Fresh, Loi Tuan Ee, berkata Ketua Pegawai Eksekutif syarikat di Filipina, Shawn, turut tercedera tetapi kini berada dalam keadaan stabil.
Beliau menyeru orang ramai mendoakan kekuatan dan ketabahan untuk isteri Jacob, Amy, serta keluarganya.
Baca juga:
- Bayi 4 bulan meninggal dunia di pusat jagaan dalam kawasan hospital
- Penjawat awam Gred 1 perlu ikuti kursus dua minggu sebelum naik ke Gred 5
- ‘Ganggu akses ke hospital tak boleh dikompromi’ – Fadhli Shaari
Dalam satu kenyataan di media sosial, Tuan Ee memaklumkan, Jacob menyertai Farm Fresh sebagai pelatih universiti 13 tahun lalu dan telah meningkat naik sehingga dilantik sebagai Pengarah Ladang.
Beliau memuji dedikasi, integriti, dan profesionalismenya, selain sifat ramah, hormat, dan disenangi semua warga syarikat.
“Beliau benar-benar seorang insan yang baik dan dianggap seperti ahli keluarga sendiri,” katanya.
Sepanjang kerjayanya, Jacob banyak menyumbang kepada pembangunan bahagian ladang tenusu Farm Fresh dan membina hubungan kukuh dengan kontraktor, pembekal, serta agensi kerajaan termasuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC). Pemergian Jacob dianggap sebagai kehilangan besar bagi syarikat.








