Majlis Ulama ISMA (MUIS) telah mengeluarkan kenyataan rasmi mengecam penganjuran konsert Coldplay yang bakal dianjurkan minggu depan di Bukit Jalil, Kuala Lumpur.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Timbalan Mufti Perak Dato Hj Zamri bin Hashim, MUIS berpendapat bahawa penganjuran konsert ini sangat bertentangan dengan nilai agama dan persaudaraan sesama Islam.
“MUIS juga meminta agar semua umat Islam tidak terlibat dengan penganjuran konsert ini dan mengingatkan bahawa kelalaian mereka terhadap apa yang sedang berlaku di Palestin adalah suatu dosa pengabaian yang akan dipersoalkan kelak,” katanya.
Selain itu, MUIS juga meminta agar pihak berwajib membatalkan konsert ini, bagi menghormati perasaan kesedihan dan simpati terhadap saudara kita di Palestin yang sedang dibom dan diserang, hingga melibatkan lebih 11 ribu nyawa yang terkorban.
Dalam masa yang sama, MUIS menggesa semua pihak agar tidak berlepas diri daripada tanggungjawab membantu dan menolong saudara seislam di Palestin, melalui semua aspek terutamanya doa, sumbangan dan sebaran keprihatinan kepada seluruh masyarakat.
Coldplay dijadualkan akan mengadakan konsert siri jelajah Music of the Spheres World Tour pada 22 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.