Penduduk kian resah, semakin banyak unit rumah jadi asrama pekerja | The Reporter

Penduduk kian resah, semakin banyak unit rumah jadi asrama pekerja

Penduduk kawasan perumahan luah kebimbangan apabila unit rumah didakwa dijadikan asrama pekerja
Penduduk dakwa aduan telah dibuat, namun isu unit rumah jadi asrama pekerja masih berlarutan.

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penduduk sebuah kawasan perumahan di Cyberjaya mendakwa semakin tertekan apabila banyak unit kediaman di situ dijadikan asrama pekerja pembinaan, sekali gus menjejaskan keselamatan dan ketenteraman komuniti setempat.

Menurut seorang wakil penduduk, situasi itu sudah berlarutan sejak sekian lama dan memberi kesan besar kepada pembeli rumah yang majoritinya golongan muda, namun aduan berulang kali dibuat tidak pernah diambil tindakan tegas oleh pihak berkaitan.

Keluar masuk bebas, penduduk rasa tidak selamat

Pengadu mendakwa kebanyakan unit yang disewakan kepada syarikat pembinaan menempatkan pekerja asing dari beberapa negara dan keluar masuk tanpa kawalan, termasuk pada waktu malam.

Keadaan itu menyebabkan penduduk berasa tidak selesa, malah bimbang terhadap keselamatan keluarga kerana tiada kawalan akses yang berkesan di kawasan tersebut.

“Ini kawasan kediaman, bukan asrama pekerja. Tapi realitinya, keluar masuk bebas tanpa kawalan langsung,” katanya.

Baca juga:

Aduan tidak diendahkan, kawasan terbuka undang risiko jenayah

Lebih membimbangkan, penduduk turut mendakwa kawasan perumahan berkenaan tidak mempunyai pagar keselamatan, dipercayai kerana konsep asal pembangunan yang dirancang seperti kawasan resort.

Apabila pihak pengurusan cuba memperketatkan peraturan keluar masuk, sebahagian pekerja didakwa mengambil jalan mudah dengan memanjat longkang atau masuk melalui laluan tidak rasmi bagi mengelak kawalan pengawal keselamatan.

Akibatnya, penduduk mendakwa telah berlaku beberapa kes kecurian kenderaan, termasuk motosikal dan kereta, dipercayai kerana akses yang terlalu mudah ke dalam kawasan perumahan.

Isu sewaan pukal dan tunggakan yuran pengurusan

Dalam masa sama, penduduk turut mendedahkan bahawa sebahagian pemilik unit yang menyewakan rumah kepada syarikat pembinaan telah lama gagal membayar yuran pengurusan, dengan tunggakan mencecah ratusan ribu ringgit.

Situasi itu memburukkan lagi keadaan apabila unit disewakan secara pukal tanpa kawalan, manakala pihak pengurusan didakwa tidak berdaya mengambil tindakan berkesan.

Baca juga:

Penduduk rayu campur tangan pihak berkuasa

Pengadu berkata mereka sudah cuba membawa isu itu ke peringkat pihak berkuasa tempatan, namun usaha tersebut berdepan penolakan dan tidak membuahkan hasil.

Penduduk kini merayu agar pihak berkuasa, termasuk majlis perbandaran dan wakil rakyat, tampil campur tangan sebelum keadaan menjadi lebih buruk.

“Kami bukan mahu viralkan tanpa sebab. Kami cuma mahu kawasan ini selamat seperti yang dijanjikan ketika membeli rumah dulu,” katanya.

Sumber: Aduan penduduk setempat

Related Posts