Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kumpulan pertama delegasi Sumud Nusantara telah berlepas ke Sepanyol bagi menyertai Global Sumud Flotilla yang akan belayar ke Gaza. Delegasi ini terdiri daripada selebriti, pempengaruh, wakil media dan aktivis, termasuklah Zizi Kirana serta Ardell Aryana.
Perjuangan mereka turut diiringi dengan sokongan dan doa, bukan sahaja daripada keluarga, tetapi juga rakyat Malaysia yang tidak putus-putus memberikan kata-kata semangat.
Lebih menyentuh hati, tular sebuah video yang merakamkan penduduk Gaza gigih menyiapkan tulisan di pasir pantai sebagai tanda menyambut kedatangan delegasi Sumud Nusantara.
Menerusi perkongsian Sumud Nusantara Official, kelihatan beberapa lelaki tekun mengukur, menggali dan melakar pasir sehingga terbentuk huruf-huruf “Welcome Global Sumud Flotilla. Break the Siege”. Kerja-kerja tersebut dilakukan dengan penuh teliti dan berhati-hati.
Baca juga:
- Rakaman dron Haroqs jadi bukti dunia, dedah detik cemas sebelum diserbu tentera Israel
- KKM semak video tular kad pemantauan pesakit denggi di KK Sri Rampai
- Sultan Selangor seru wakil rakyat hayati makna Rukun Negara di Dataran Selangor
“Berlatar belakangkan kemusnahan, mereka tetap gigih menyiapkan hasil seni ini demi menyambut kedatangan delegasi Sumud Nusantara yang akan bersama-sama belayar ke Gaza dengan Global Sumud Flotilla untuk memecahkan sekatan Zionis Israel.
“Semalam, kumpulan pertama delegasi Sumud Nusantara telah berlepas ke Sepanyol untuk menyertai Global Sumud Flotilla yang dijadualkan belayar ke Gaza pada 31 Ogos ini bagi menamatkan sekatan di Gaza.
“Semoga misi ini mencapai kejayaan dan semua delegasi, khususnya Sumud Nusantara, selamat kembali ke tanah air,” tulis akaun rasmi itu di TikTok.
Ruangan komen juga dipenuhi dengan rasa kagum terhadap hasil seni berkenaan, selain harapan besar yang diluahkan penduduk Gaza.











