Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Restoran mi segera di Kampung Jawa, Melaka yang tular kerana mempamerkan haiwan eksotik alpaka serta lebih 20 haiwan lain sebagai hiburan pelanggan akhirnya diarah tutup tujuh hari dan dikompaun lebih RM10,000 oleh Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB). Namun, pemilik restoran tampil memberi penjelasan selepas menerima kecaman warganet.
Lelaki warga Singapura berusia 31 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Ong berkata, dia seorang pencinta haiwan dan tidak mungkin menzalimi alpaka jantan berusia 10 bulan yang dinamakan Jenter.
Baca juga:
- Rafizi Ramli desak keputusan segera, sedia dipecat jika langgar perlembagaan parti
- Kanak-kanak lelaki lemas, jatuh dalam Terusan Sungai Dua di Bertam
- ‘Indonesia antara negara paling selamat jika Perang Dunia III berlaku’ – Prabowo
Beli seekor alpaka lebih RM20,000
Menurut Ong, dia sebenarnya membeli sepasang alpaka dari Australia dengan harga keseluruhan RM43,000. Namun, hanya Jenter dipamerkan di restoran, manakala pasangannya ditempatkan di rumah.
“Saya tahu ada yang marah, kata saya menzalimi alpaka ini, sedangkan saya memang pencinta haiwan. Apatah lagi saya beli seekor alpaka pun lebih RM20,000. Cuma mungkin silap saya sebab pamerkannya di kedai makan,” katanya ketika ditemui pemberita, lapor Malaysia Gazette.
Akan ikut saluran undang-undang
Ong mengakui tindakannya mempamerkan haiwan di premis makanan menyalahi peraturan, namun berjanji akan memperkemas permohonan selepas ini supaya mematuhi saluran undang-undang.
“Saya akan cuba ikut garis panduan yang ditetapkan. Mungkin selepas ini saya perlu semak dahulu sama ada boleh dibuat secara sah atau tidak,” ujarnya.
Terdahulu, MBMB mengenakan dua kompaun berjumlah keseluruhan RM10,250 terhadap Ong, iaitu RM10,000 di bawah Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 2001 serta RM250 lagi kerana melanggar syarat Undang-undang Kecil Petempatan Makanan (MBMB) 2020. Restoran itu juga diarahkan ditutup tujuh hari untuk kerja pembersihan serta mengeluarkan semua haiwan dari premis.
Premis disiasat selepas tular
Operasi bersepadu itu diketuai Datuk Bandar MBMB, Datuk Shadan Othman bersama Timbalan Exco negeri, Datuk Mohd Noor Helmy Abdul Halem. Pemeriksaan mendapati terdapat 23 ekor haiwan dipelihara dan dipamerkan di restoran, termasuk kambing, itik, angsa, arnab dan 15 ekor kucing, selain alpaka.
Tindakan itu jelas bertentangan dengan syarat lesen perniagaan makanan yang melarang sebarang haiwan ditempatkan dalam premis makanan.








