Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Baru-baru ini tular isu kehadiran haiwan alpaca di sebuah premis makanan di Melaka. Walaupun dikatakan sebagai tarikan pelanggan, namun kehadiran haiwan seperti alpaca tidak sesuai ditempatkan di dalam premis makanan kerana sifatnya yang lebih memerlukan kebebasan.
Menerusi video tular berkenaan, bukan hanya alpaca, malah beberapa haiwan lain seperti itik, kucing, kambing dan arnab turut ditempatkan di premis tersebut. Menurut pengadu, bau busuk dapat dihidu sebaik sahaja memasuki premis itu.
Isu berkenaan turut mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Duyong, Datuk Mohd Noor Helmy, yang melakukan lawatan ke lokasi terbabit. Beliau menegaskan bahawa menempatkan haiwan di dalam premis makanan adalah satu kesalahan, walaupun telah dipisahkan dengan dinding atau pintu.
Susulan pemeriksaan, Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) telah mengeluarkan dua kompaun, iaitu RM250 kerana membenarkan haiwan berada dalam premis makanan, serta kompaun di bawah Enakmen Hiburan berjumlah RM2,500.
“Susulan aduan yang diterima daripada YB Datuk Hj. Mohd Noor Helmi bin Abdul Halem, ADUN Duyong, pihak MBMB telah mengadakan lawatan ke sebuah restoran yang memelihara haiwan alpaca.
“Hadir sama YBhg. Datuk Hj. Shadan bin Hj. Othman, Datuk Bandar MBMB dan wakil Jabatan Pelesenan serta Kesihatan Persekitaran. MBMB akan mengambil tindakan sewajarnya kerana isu ini melibatkan aspek kebersihan,” jelas MBMB dalam kenyataan.
Baca juga:
- JAWI bantah penganjuran pesta air di Kuala Lumpur
- GSF 2.0 dipintas: SNCC sahkan 10 rakyat Malaysia ditahan
- Kanak-kanak jatuh longkang ditemukan, 10 km dari lokasi kejadian
Menurut Mohd Noor Helmy, konsep yang dibawa oleh premis berkenaan sebenarnya menarik, namun tidak mematuhi undang-undang pihak berkuasa tempatan (PBT).
“Konsep kedai ini menarik. Cuma salah sebab tak ikut undang-undang PBT dan kacau hak kehidupan binatang. Kesian binatang tu tak ada ‘me-time’.
“Kedai diarah tutup selama tujuh hari untuk kerja pembersihan. Selepas itu, patuhi garis panduan, jaga kebajikan binatang dan barulah boleh teruskan perniagaan,” katanya.








