Penceramah bebas dipenjara 10 hari gagal bayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiga | The Reporter

Penceramah bebas dipenjara 10 hari gagal bayar hutang perkahwinan bekas isteri ketiga

Mahkamah Syariah Gombak memerintahkan penceramah bebas dipenjara 10 hari
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Penceramah bebas kontroversi, Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli dijatuhi hukuman penjara selama 10 hari oleh Mahkamah Rendah Syariah Gombak pada Rabu, selepas didapati gagal membayar hutang perkahwinan kepada bekas isteri ketiganya berjumlah RM120,000 sejak tiga tahun lalu.

Memetik laporan Berita Harian, keputusan itu dibuat oleh Hakim Syarie Mohd Faizal Habib selepas menolak alasan dikemukakan defendan yang mendakwa menghadapi beban ekonomi kronik.

Menurut hakim, alasan tersebut hanyalah bersifat penafian semata-mata kerana bukti yang dikemukakan menunjukkan defendan masih mempunyai kemampuan kewangan.

“Mahkamah mendapati penyata syarikat milik defendan menunjukkan beliau mempunyai pendapatan bulanan serta sumber kewangan untuk melaksanakan pembayaran penghakiman mahkamah,” katanya.

Mahkamah turut mengambil kira pengakuan defendan bahawa beliau masih aktif berceramah di tempat awam walaupun tauliah mengajar agama Islam telah ditarik balik sebelum ini.

Selain itu, alasan defendan yang menyatakan perbelanjaan tinggi bagi pendidikan 10 orang anaknya juga gagal dibuktikan selepas mahkamah mendapati anak-anak tersebut mengikuti pembelajaran di rumah (home schooling) dan diajar oleh isteri-isterinya sendiri.

Bagaimanapun, mahkamah memuji usaha defendan menanggung sewa rumah kedua-dua ibu bapanya walaupun beliau memiliki kediaman sendiri di Taman Dato’ Harun.

“Namun, perbuatan itu hanyalah ihsan, sedangkan membayar hutang merupakan kewajipan yang perlu dilaksanakan oleh penghutang,” tegas hakim.

Baca juga:
Ustaz Faridul Firdaus Zaulkapli

Selain hukuman penjara, mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos prosiding sebanyak RM3,000 kepada bekas isteri ketiganya selaku plaintif, Norhasyimah Mohamed Arip, 44. Defendan pula tidak diwakili peguam.

Sebelum ini, mahkamah telah mengarahkan defendan membayar hutang berkenaan secara ansuran sebanyak RM40,000 selama tiga bulan bermula Oktober hingga Disember 2023, namun beliau gagal mematuhi perintah tersebut.

Menurut Peguam Syarie plaintif, Musa Awang, defendan didapati dua kali ingkar penghakiman, sekali gus mendorong mahkamah menjatuhkan hukuman penjara selama 10 hari.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa defendan masih bertanggungjawab melunaskan hutang berkenaan walaupun selepas selesai menjalani hukuman penjara.

Terdahulu, pada 16 Julai 2025, Faridul Firdaus turut didenda RM2,800 oleh Mahkamah Rendah Syariah Shah Alam atas kesalahan mengajar agama Islam tanpa tauliah.

Related Posts