Kementerian Pengangkutan Malaysia memberi amaran keras kepada pemilik kenderaan asing agar mematuhi undang-undang jalan raya negara ini, berikutan pelaksanaan Permit Masuk Kenderaan (VEP) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Oktober 2024.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke menegaskan, kerajaan tidak akan mengambil ringan isu ini dan akan melaksanakan peraturan dengan tegas.
“Bermula 1 Oktober, VEP akan dikuat kuasakan. Saya berharap pemandu dari Singapura yang sering memasuki Malaysia akan mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan.”
Sebelum ini, kenderaan dari Singapura didapati sering melanggar undang-undang jalan raya di Malaysia sukar untuk dikenal pasti dan dikenakan tindakan.
Dengan pelaksanaan VEP, mana-mana kenderaan asing yang memasuki Malaysia dan didapati melanggar undang-undang akan diwajibkan membayar saman terlebih dahulu sebelum keluar dari pintu sempadan negara.
Peraturan VEP akan dikuat kuasakan di pintu masuk kedua-dua kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Johor, iaitu di Bangunan Sultan Iskandar (BSI) di Tambak Johor dan di Bangunan Sultan Abu Bakar di Link Kedua Malaysia-Singapura.
Penguatkuasaan VEP ini bertujuan untuk memastikan semua pengguna jalan raya mematuhi sepenuhnya peraturan jalan raya di Malaysia. Kenderaan asing yang tidak mematuhi peraturan akan menghadapi tindakan undang-undang yang lebih ketat.








