Pemandu 4 x 4 didenda RM6,000 kerana langgar motosikal ditunggang 4 beranak di Lebuhraya Besraya - The Reporter

Pemandu 4 x 4 didenda RM6,000 kerana langgar motosikal ditunggang 4 beranak di Lebuhraya Besraya

Sumber gambar: Orang Awam

Mahkamah Majistret Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman denda RM6,000 terhadap pemandu kereta pacuan empat roda yang melanggar motosikal yang ditunggang empat sekeluarga dalam video tular di media sosial semalam.

Tertuduh, Mohammad Harith Ismail, 22, membuat pengakuan bersalah terhadap pertuduhan itu di hadapan Majistret Fatin Dayana Jalil.

Berita berkaitan: Kanak-kanak perempuan alami pendarahan di kepala, motosikal bapanya dihimpit kereta 4 x 4 sehingga terjatuh

Pereka grafik berkenaan turut diperintah menjalani hukuman penjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa memandu secara melulu dan tidak cermat di Lebuhraya Besraya dari arah Sungai Besi ke Balakong pada jam 12.30 tengah hari Selasa.

Kecuaiannya itu menyebabkan keempat-empat mangsa mengalami kecederaan di mana pasangan suami isteri mengalami patah jari kaki dan luka di betis. Manakala, dua anak pasangan berkenaan cedera di bahagian kepala, retak tulang pipi dan patah jari kaki.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. Jika sabit kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 12 bulan dan denda RM5,000 hingga RM10,000.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, R Harvind, memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal kerana tertuduh telah membahayakan pengguna jalan raya lain.

Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan di atas kesalahan yang tidak disengajakan itu. Malah dia tidak begitu arif mengenai selok-belok jalan di kawasan tersebut, kerana dia bukan berasal dari Kuala Lumpur.

Tertuduh juga memaklumkan, dia tidak melarikan diri selepas kejadian itu. Sebaliknya dia berpatah balik untuk membantu dan menghantar kesemua mangsa ke hospital.

Sumber: Berita Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Content is protected !!