Kebanyakan restoran kini menggunakan QR Code untuk memudahkan pelanggan membuat pesanan terus dari meja makan atau membuat pembayaran. Namun, ada sesetengah pelanggan yang menghadapi kesukaran berbuat demikian disebabkan kurangnya capaian internet di kawasan tersebut.
Masalah kecil seperti ini boleh menyebabkan pelanggan rasa menyampah dan akhirnya membatalkan hasrat untuk menikmati makanan di restoran itu.
Contohnya, seorang wanita bernama Zeeda Aziz, meluahkan ketidakpuasan hatinya di Facebook, di mana dia hampir saja hilang ‘mood’ untuk makan di sebuah restoran bersama keluarganya.
“Malam tadi hampir sahaja saya tinggalkan kedai makan ini sebab saya tak dapat buka link dari QR Code. Capaian Celcom tak cukup kuat di kawasan itu.
“Sebelum saya give up, saya suruh anak tanyakan apa password wifi kedai ini. Jawapan dari pekerja di situ amat mengejutkan saya.
“Nak guna WiFi, order dulu”.
“Fuh, dia ingat kita datang sini semata-mata nak lepak guna WiFi ke apa? Kalau tak nak bagi customer guna WiFi, janganlah guna QR Code itu. Ambil order secara manually. Datang ke meja, ambil order atau letak kertas order, pensil dan menu.
“Makanan di situ sedap dah, penyediaan pun tidaklah membuat kita tertunggu-tunggu. Tapi proses nak membuat pesanan tu menyakitkan hati. Ditambah pula dengan jawapan pekerja itu tadi, meman baran dibuatnya,” katanya.
Menurut Zeeda, dia juga telah memaklumkan perkara itu kepada pekerja premis untuk membuat penambahbaikkan bagi memudahkan pelanggan yang datang. Tetapi penuh dengan alasan.
“Saya dah pun memaklumkan hal ini kepada pekerja di situ. Terpulanglah mereka nak ubah atau tidak. Sekecil-kecil perkara begini, boleh membuatkan pelanggan tak nak datang dua kali.
“Selepas saya tegur hal ini, mereka beri alasan internet tak kuat pula dan sebab itu mereka tak bagi password. Dah tahu tak kuat, tak perlulah guna QR Code,” ujarnya.








