Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelanggan meluahkan rasa kecewa selepas mendapati hidangan sayur kailan yang dipesannya di sebuah restoran di Pasir Gudang, Johor, dicemari ulat. Pelanggan itu kemudian mempersoalkan kebersihan premis berkenaan, namun respons pemilik restoran membuatkan ramai tergamam.
Dalam video yang tular, pemilik restoran memberi jawapan yang dianggap tidak memuaskan apabila menyatakan kehadiran ulat dalam hidangan kailan adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
“Kailan tu bukan abang seorang kena, kita sendiri pun pernah kena. Kadang-kadang bila basuh sayur, tak bersih sepenuhnya. Memang salah saya, tetapi kami sudah buat yang terbaik. Kadang-kadang tetap ada ulat walaupun sudah dicuci,” katanya.
Peniaga itu juga mengakui bahawa premisnya tidak mampu menjamin kebersihan 100 peratus.
“Kami cuba jaga kedai, tetapi tidak semuanya sempurna,” tambahnya.
Jawapan tersebut mencetuskan kemarahan pelanggan dan orang ramai, yang menyifatkan tindakan pemilik restoran sebagai cuba menegakkan benang yang basah.
Seorang pengguna X, @eddienglfc, menyangkal kenyataan peniaga bahawa ulat dalam kailan adalah perkara biasa.
“Umur saya dah 50, makan kailan banyak kali. Tak pernah ada ulat putih macam tu. Jangan menipu!” katanya.
Ada juga komen sinis dari netizen lain seperti @wanhelm33 yang menyatakan, “Tak boleh percaya gerai yang nampak Islamik tapi kebersihan diabaikan. Jangan ingat pakai kopiah boleh lepas.”
Ramai berharap Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) segera mengambil tindakan terhadap restoran tersebut bagi memastikan kebersihan makanan terjamin. – The Reporter