Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Sung Kang, pelakon yang terkenal dengan watak Han Lue dalam francais Fast & Furious, telah mengesahkan dia sedang membangunkan filem adaptasi live-action daripada manga Initial D. Yang mengisahkan tentang perlumbaan kereta jalanan di Jepun.
Dalam temu bual bersama South China Morning Post, Oktober lalu, Sung Kang memaklumkan dia terbabit dalam dua projek baru yang sedang dirancang. Salah satunya adalah filem Initial D.
Projek yang satu lagi adalah mengenai zaman kanak-kanaknya, yang didedikasikan kepada ibu bapanya.
Projek tersebut mendapat sokongan daripada pengasas manga Initial D, Shuichi Shigeno, yang memberi kebenaran kepadanya untuk membuat filem tersebut.
Selain itu, Sung Kang mendapat bantuan daripada RWB, sebuah syarikat yang terkenal dengan kerja-kerja modifikasi kereta, khususnya Toyota Sprinter Trueno AE86, kereta yang menjadi ikon dalam manga Initial D.
“RWB sedang membina sebuah AE86 untuk filem itu. Saya sangat berterima kasih kepada Shigeno-sensei kerana memberi saya peluang untuk mewujudkan visi saya.
“Saya juga sangat berterima kasih kepada RWB kerana membantu saya untuk merealisasikan impian saya,” katanya.
Difahamkan, Sung Kang telah memulakan kerjaya pengarahannya dengan filem komedi seram bebas, Shaky Shivers, yang ditayangkan pada tahun 2022. Filem Initial D akan menjadi filem ketiga yang diarahkannya.
Sung Kang berharap filem Initial D yang diarahkannya itu kelak akan dapat menarik minat peminat manga dan anime, serta peminat kereta dan perlumbaan. Selain itu dapat memberi inspirasi kepada generasi muda untuk mengejar impian mereka.
“Filem ini adalah tentang kereta dan drifting dan perkara-perkara yang menarik seperti itu. Hampir seperti Rocky atau Karate Kid. Sebuah filem yang menyeronokkan, berbelanjawan besar, yang mengekspresikan minat saya terhadap kereta,” ujarnya.