Pelajar SMK Jeli juarai pertandingan vokal dunia, tewaskan peserta tujuh negara - The Reporter

Pelajar SMK Jeli juarai pertandingan vokal dunia, tewaskan peserta tujuh negara

Pelajar SMK Jeli juara vokal dunia

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Jeli, Kelantan, Nur Syafawati Damia Safwan, 17, mencipta kejayaan membanggakan apabila dinobatkan sebagai pemenang Tempat Pertama (Laureate 1) dalam kategori Vocal Duet of Excellent Group pada International Folklore and Music Competition Prague 2024.

Bersama pasangan duetnya, Nik Muhamad Firdaus Putra Nik Aziz, 17, dari SMK Raja Sakti, mereka mempersembahkan lagu Bergending Dang Gong yang dipopularkan oleh Datuk Seri Siti Nurhaliza dan Allahyarham Datuk SM Salim. Vokal mantap mereka berjaya memukau juri dan penonton dalam pertandingan berprestij itu yang berlangsung dari 11 hingga 20 Disember lalu.

Pasangan itu berjaya menewaskan lebih 40 peserta dari tujuh negara termasuk Ukraine, Republik Chechnya, dan Amerika Syarikat, sekali gus mengharumkan nama negara di peringkat antarabangsa.

Menurut Nur Syafawati Damia, kejayaan ini hasil dorongan keluarga serta bimbingan guru-guru walaupun tidak mempunyai kemudahan khas di rumah.

“Alhamdulillah, minat saya dalam bidang nyanyian sentiasa didorong oleh keluarga. Saya banyak berlatih di bawah tunjuk ajar guru di sekolah serta menyertai pertandingan di pelbagai peringkat sebelum ini,” katanya ketika ditemui pada Selasa.

Pelajar cemerlang ini mewarisi bakat menyanyi daripada ibunya, Siti Nor Abidah Zainuddin, 38, manakala bapanya, Safwan Mamat, 39, sentiasa memberikan sokongan terhadap minatnya sejak kecil.

Sementara itu, guru pembimbing mereka, Suhaida Sukri, mengakui kemenangan ini adalah hasil kerja keras serta dedikasi pasangan duet tersebut.

“Mereka membuktikan bakat anak tempatan mampu bersaing di peringkat global dengan usaha yang konsisten dan semangat yang tinggi,” katanya.

Sumber: Sinar Harian

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!