Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
• 9 pelajar direman selepas pukul rakan kerana isu gambar bekas kekasih
• Mangsa cedera di kepala dan belakang dalam dua insiden berasingan
• Kes disiasat bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan
Cemburu menjadi punca seorang pelajar Tingkatan Dua menjadi mangsa pukul sekumpulan pelajar lain di sebuah sekolah menengah di Kemaman, Terengganu.
Akibat kejadian itu, sembilan pelajar lelaki berusia antara 15 hingga 18 tahun direman selama tiga hari bermula Isnin untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, kesemua pelajar terbabit ditahan kira-kira jam 1.30 tengah hari pada Ahad selepas mangsa membuat laporan polis.
Mangsa mendakwa dia telah dipukul oleh beberapa pelajar lain dalam dua kejadian berasingan yang berlaku pada 27 dan 28 Mei lalu.
Siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada rasa tidak puas hati seorang suspek terhadap mangsa kerana masih menyimpan gambar bekas teman wanita yang kini dipercayai telah menjadi kekasih suspek.
Tambah Mohd Razi, mangsa berusia 14 tahun itu mengalami kecederaan di beberapa bahagian badan termasuk kepala dan belakang akibat diserang secara berkumpulan.
Setakat ini, pihak polis masih menjalankan siasatan terperinci untuk mengenal pasti semua pelaku dan latar belakang kejadian.
Sumber: Sinar Harian








