Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Seorang pelajar semester lima dari Politeknik Muadzam Shah, Pahang, mencipta nama di peringkat antarabangsa apabila berjaya mendapat tempat pertama dalam pertandingan ‘Adobe Certified Professional World Championship 2024’, yang diadakan di California, Amerika Syarikat pada 28 hingga 31 Julai lepas.
Izzul Zafran Abd Razak yang merupakan pelajar Diploma Rekabentuk Grafik, Jabatan Rekabentuk dan Komunikasi Visual itu menewaskan 47 peserta daripada 40 negara untuk membawa pulang hadiah kemenangan berupa wang tunai US$8,000 (RM36,170), sijil, medal dan trofi kemenangan.
Dalam pertandingan berkenaan, dia menghasilkan poster bertajuk ‘Digital Skills for A Sustainable Future’ dengan menggunakan aplikasi Adobe.
Bagi menghargai usaha beliau dalam mengharumkan nama negara,Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Mustapha Sakmud berkata pihak kementerian akan memberikan penghargaan bersesuaian kepada Izzul Zafran.
“Saya fikir ini satu pencapaian yang amat baik dari segi akademik dan kita akan cuba cari kaedah bagaimana pelajar ini boleh berkongsi pengalaman untuk dijadikan sumber inspirasi kepada pelajar lain.
“Saya akan berbincang dengan Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti dan kita akan mengumumkan penghargaan kepada pelajar ini,” katanya.
Katanya, kejayaa yang dikecapi oleh Izzul wajar dijadikan sebagai contoh kepada pelajar lain.
Pertandingan tahunan itu terbuka kepada pelajar berusia 13 hingga 22 tahun di seluruh dunia bagi membuktikan kemahiran dan kecekapan mereka menggunakan perisian Adobe Creative Cloud dalam mereka bentuk poster.
Panel juri yang terdiri daripada pakar industri reka bentuk termasuk The King’s Trust International akan menyemak projek akhir peserta dan pemenang dipilih berdasarkan daya tarikan visual, keupayaan memenuhi keperluan pelanggan dan estetika jenama serta penggunaan profesional aplikasi berkenaan.








