Pelajar cedera terjatuh dari bumbung sekolah selepas hisap vape mushroom flavour - The Reporter

Pelajar cedera terjatuh dari bumbung sekolah selepas hisap vape mushroom flavour

Pelajar cedera hisap vape
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.


Seorang pelajar Tingkatan Dua cedera selepas terjatuh dari bumbung sekolahnya di sini, dipercayai kerana mengalami kesan khayal selepas menghisap vape.

Pengarah Pendidikan Perlis, Rose Aza Che Ariffin berkata, kejadian berlaku sekitar jam 11 pagi di sebuah sekolah di Kangar.

Pelajar tersebut didapati menghisap vape dalam kelas semasa hujung waktu rehat, sebelum mengalami keadaan khayal yang dipercayai mempengaruhi tindakannya.

“Setelah berasa khayal, pelajar itu turun ke bumbung dari tingkat satu, namun terjatuh ke tanah dan mengalami kecederaan ringan pada kakinya,” katanya memetik laporan dari Astro Awani.

Selepas insiden itu, mangsa menjadi tidak terkawal dan mula meracau sehingga pihak sekolah terpaksa menghubungi polis. Polis kemudian membawa mangsa ke Klinik Kesihatan Kangar untuk pemeriksaan lanjut, di mana ujian saringan dadah menunjukkan keputusan negatif.

Mangsa kemudian dibawa pulang oleh keluarganya dan kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil. Pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Perlis kini sedang bekerjasama dengan polis untuk menyiasat lebih lanjut insiden ini.

Rose Aza menambah, pihaknya telah mengarahkan guru disiplin sekolah untuk menjalankan siasatan terperinci, termasuk mencari sumber bekalan vape.

Tindakan susulan termasuk laporan kepada Unit Hal Ehwal Murid dan Sektor Pembangunan Murid Jabatan Pendidikan Perlis serta tindakan melalui Sistem Sahsiah Diri Murid (SSDM) untuk memastikan pelajar tersebut dibantu dan dipantau dengan sewajarnya.

Total
0
Shares
Related Posts
Total
0
Share
error: Copyright reserved!