Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pekerja kontraktor Tenaga Nasional Berhad (TNB) maut selepas dipercayai dilanggar oleh seorang pemandu dalam keadaan mabuk ketika pulang dari kerja di Jalan Jeram, Masjid Tanah, pada malam Isnin lalu.
Mangsa, Muhammad Syairazi Rahmat, berusia 24 tahun, yang menunggang motosikal Yamaha 135LC, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan serius di kepala.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, siasatan awal menunjukkan mangsa dalam perjalanan pulang dari Masjid Tanah menuju ke kediamannya di Kuala Sungai Baru.
Semasa dalam perjalanan itu, sebuah Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 34 tahun dari arah bertentangan tiba-tiba memasuki laluan mangsa lalu merempuh motosikalnya.
“Akibat pertembungan ini, mangsa tercampak dan maut di tempat kejadian,” katanya dalam satu kenyataan pada hari Selasa.
Menurut beliau, pemandu kereta yang berasal dari Sungkai, Perak, turut mengalami kecederaan parah di kepala dan kini dirawat di zon merah Hospital Alor Gajah. Hasil siasatan awal mendapati pemandu berkenaan disyaki memandu dalam keadaan mabuk.
“Ujian darah telah diambil daripada pemandu terbabit dan dihantar ke Jabatan Kimia Melaka bagi pengesahan sama ada terdapat kandungan alkohol atau dadah,” tambah beliau.
Mayat Muhammad Syairazi telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat. Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi tindakan lanjut.
Sumber: Sinar Harian