Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli menegur sikap segelintir pihak yang enggan mendengar penjelasan kerajaan mengenai perancangan ekonomi negara. Beliau merujuk kepada komen seorang pengguna media sosial yang menolak untuk mendengar penerangan kerajaan hanya kerana tidak bersetuju dengan kepimpinan sedia ada.
“Kalau pekat macam mana pun sokong PN, saya nasihatkan tetap dengar penerangan saya mengenai perancangan ekonomi negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook.
Menurut Rafizi, masa depan kerjaya generasi muda banyak bergantung kepada perancangan ekonomi yang sedang dilaksanakan kerajaan. Justeru, ibu bapa disarankan untuk memahami hala tuju ekonomi negara agar dapat membantu anak-anak memilih bidang yang mempunyai permintaan tinggi dan menawarkan gaji lumayan pada masa hadapan.
Beliau menjelaskan bahawa banyak pekerjaan baharu akan diwujudkan melalui aktiviti ekonomi yang sedang dirancang, termasuk dalam sektor kecerdasan buatan (AI), digital dan teknologi. Ini bermakna bidang seperti kejuruteraan elektronik, kejuruteraan elektrik, kejuruteraan perisian, sains data, pemasaran digital serta pembangunan produk digital akan semakin diperlukan dalam pasaran kerja.
“Dengan memahami perancangan kerajaan dan bentuk pelaburan yang sedang berlaku, ibu bapa boleh merancang bagaimana menyediakan anak-anak untuk memilih kursus dan kerjaya yang baik di masa hadapan,” katanya lagi.
Rafizi menyeru orang ramai agar tidak menutup telinga terhadap perancangan ekonomi negara semata-mata kerana perbezaan pandangan politik, kerana ia memberi kesan langsung kepada masa depan generasi akan datang.
Sumber: FB Rafizi Ramli