Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Pentadbiran Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor (SUK Selangor) mengambil maklum secara serius berhubung penularan gambar di media sosial melibatkan seorang individu dipercayai penjawat awam yang dirakam sedang merokok di dalam kenderaan rasmi jabatan kerajaan negeri.
Menurut kenyataan rasmi, langkah awal telah diambil dengan Ketua Jabatan berkenaan mengeluarkan Surat Tunjuk Sebab (STS) kepada pegawai terbabit bagi mendapatkan penjelasan bertulis mengenai tingkah laku yang telah dirakam dan tular tersebut.
YB Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor turut menegaskan bahawa setiap penjawat awam wajib menjaga imej perkhidmatan awam serta mematuhi segala peraturan, termasuk etika penggunaan aset rasmi kerajaan negeri.
“Tindakan yang tidak berdisiplin bukan sahaja mencemarkan reputasi jabatan, malah bertentangan dengan nilai integriti dan tanggungjawab awam seperti yang digariskan dalam Peraturan-Peraturan Pegawai Awam (Kelakuan dan Tatatertib) 1993,” jelas kenyataan itu.
Baca juga:
- Ucapan anak Allahyarham Dr Aiman sentuh hati ramai
- PN ucap tahniah kepada Vijay, puji kemenangan TVK di Tamil Nadu
- ‘Type M, C dan I bukan lagi gurauan, tapi kemarahan tersirat’ – Zahid Hamidi
Sehubungan dengan itu, SUK Selangor mengingatkan penjawat awam supaya sentiasa menjaga tingkah laku ketika menggunakan aset kerajaan, tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh menjejaskan imej pentadbiran kerajaan negeri, serta sentiasa bertanggungjawab terhadap persepsi awam.
Dalam kenyataan sama, SUK Selangor menegaskan bahawa sebarang pelanggaran tatakelakuan akan ditangani melalui saluran tatatertib sedia ada. Pihaknya komited memastikan tahap profesionalisme dan integriti penjawat awam di Selangor sentiasa terpelihara pada tahap terbaik.








