Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) didakwa di Mahkamah Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah atas pertuduhan menyalahgunakan harta dengan curang.
SPRM dalam satu kenyataan di Facebook memaklumkan pegawai tersebut yang memegang jawatan sebagai Penolong Pesuruhjaya (Gred P48) didakwa mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan atas kesalahan menyalahgunakan wang sitaan sebanyak RM613,000.00 dalam Op Green, iaitu operasi SPRM yang berjaya membongkar kes penipuan pendaftaran kenderaan diesel dalam sistem mySikap pada tahun 2019.
“Kesalahan tersebut didakwa berlaku di antara 1 Jun 2020 sehingga 9 Februari 2024 di Cyberjaya, Daerah Sepang, Selangor.
“Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak lebih daripada lima tahun, dikenakan sebatan, dan boleh juga dikenakan denda,” katanya.
Dalam pada itu, SPRM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap isu integriti dan etika kerja semua pegawai.
“Harus ditegaskan, SPRM tidak teragak-agak mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pegawai yang melanggar peraturan dan undang-undang bagi memastikan amanah dan tanggungjawab yang diberikan kepada Suruhanjaya terus terpelihara.
“Tindakan ini mencerminkan kesungguhan SPRM dalam menegakkan keadilan dan membanteras rasuah dan salah guna kuasa tanpa pilih kasih.
“SPRM bertekad mengekalkan ketelusan dalam setiap tindakan bagi memastikan keadilan dan proses perundangan dilaksanakan sewajarnya,” tulis kenyataan itu.