Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Kementerian Perpaduan Negara mengumumkan pelantikan lapan wira sukan tanah air sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025. Pengiktirafan ini diberikan kepada atlet yang bukan sahaja berjaya mengharumkan nama Malaysia di pentas antarabangsa, malah membuktikan bahawa sukan mampu menjadi jambatan penyatuan seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang.
Antara mereka yang menerima pengiktirafan tersebut termasuklah pasangan beregu badminton lelaki negara, Goh Sze Fei, Izuddin Rumsani, Wan Muhammad Arif Shaharudin dan Yap Roy King. Turut sama ialah gandingan beregu badminton wanita, Pearly Tan Koong Le dan Thinaah Muralitharan, selain pasangan beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar dan Tan Jenn Ming.
Menurut kenyataan rasmi kementerian, sukan merupakan wadah paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat. Setiap kali atlet negara berentap di gelanggang dunia, seluruh rakyat Malaysia berdiri teguh menyokong mereka tanpa mengira kaum, agama atau budaya, dengan semangat yang sama ketika Jalur Gemilang dikibarkan megah.
Baca juga:
- Kerajaan mungkin pertimbang potong gaji menteri jika ekonomi semakin mencabar
- Isu aurat dalam tahanan: Muslimat PAS gesa penambahbaikan segera
- Kisah ‘Mahasiswa Abadi’: Tesis didakwa diambil rakan, Dessy kini alami tekanan mental
Kementerian menegaskan bahawa pencapaian atlet-atlet ini bukan sekadar kejayaan dalam bidang sukan, sebaliknya mereka telah menjadi teladan kepada masyarakat dengan menunjukkan bagaimana semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan. Pengiktirafan ini juga selaras dengan aspirasi Malaysia Madani yang menekankan nilai persaudaraan, kebersamaan dan harmoni dalam kalangan rakyat.
“Mereka bukan sahaja mencipta kejayaan di arena antarabangsa, malah menjadi contoh teladan yang membuktikan bahawa semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta mengukuhkan semangat Malaysia Madani,” katanya.
Dalam kenyataan itu juga, kementerian menzahirkan harapan agar kesemua Ikon Perpaduan ini dapat terus menyebarkan mesej perpaduan serta menanam benih keharmonian di setiap lapisan masyarakat. Usaha ini diyakini akan memperkukuh cita-cita negara untuk membina sebuah bangsa yang lebih aman, harmoni dan bersatu padu.








