Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengesahkan waran tangkap terhadap ahli perniagaan, Datuk Seri Muhammad Adlan Berhan, telah dikeluarkan dan usaha menjejakinya kini diteruskan dengan bantuan pihak berkuasa luar negara.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, berkata pihaknya dimaklumkan bahawa individu berkenaan berada di luar negara dan tindakan lanjut sedang dijalankan.
“Semua sedia maklum beliau berada di luar negara. Kita telah keluarkan waran tangkap sebelum ini dan kini melaksanakan beberapa tindakan dengan bantuan negara berkaitan.
Insya-ALLAH, kita akan cuba yang terbaik untuk menyelesaikan perkara ini,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Khalid memaklumkan bahawa pihaknya belum menerima maklum balas daripada Interpol berhubung permohonan Notis Merah yang dikemukakan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Setakat ini, kita belum terima apa-apa perkembangan. Mungkin SPRM boleh menjawab persoalan itu,” jelasnya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya, sebelum ini memaklumkan siasatan terhadap kes tersebut bermula pada 13 Mac 2023, selepas laporan rasmi diterima.
Katanya, antara Mei hingga Ogos 2023, pegawai penyiasat SPRM telah beberapa kali menghubungi Muhammad Adlan melalui panggilan telefon, WhatsApp dan surat rasmi, namun beliau gagal memberi maklum balas.
Berikutan itu, SPRM memperoleh waran tangkap daripada Mahkamah Majistret Shah Alam pada 7 September 2023, sebelum memohon Notis Merah Interpol melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) pada Oktober tahun sama.
SPRM turut bekerjasama dengan Jabatan Imigresen membatalkan pasport Muhammad Adlan antara Ogos dan September 2023, selain mengemukakan beberapa laporan susulan kepada Interpol sepanjang 2024 dan 2025.
Baca juga:
- ‘Desakan letak jawatan bukan tanda gagal, tapi panggilan untuk buat lebih baik’ – Fadhlina
- Sempat makan bersama anak-anak, lelaki meninggal dunia sehari selepas keluar hospital
- PDRM sahkan waran tangkap terhadap Adlan Berhan telah dikeluarkan
Muhammad Adlan dikehendaki bagi membantu siasatan kes penyelewengan projek pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Terdahulu, Muhammad Adlan dilaporkan sedang menikmati kehidupan mewah di Timur Tengah dan sering berulang-alik keluar masuk negara berkenaan untuk urusan peribadi, termasuk bermain golf di Thailand serta mengunjungi lapang sasar menembak.
Sumber: Sinar Harian