Panasonic hentikan operasi kilang Shah Alam Mac 2027 | The Reporter

Panasonic hentikan operasi kilang Shah Alam Mac 2027

Kilang Panasonic AVC Networks di Shah Alam yang akan dihentikan operasinya pada Mac 2027
Gamvbar: Panasonic

Panasonic AVC Networks Kuala Lumpur Malaysia Sdn. Bhd. (PAVCKM) akan menghentikan operasinya di Shah Alam menjelang akhir Mac 2027 sebagai sebahagian daripada langkah penyusunan semula pangkalan pengeluaran global kumpulan elektronik Jepun itu.

Menurut kenyataan kenyataan rasmi Panasonic, keputusan itu dibuat bagi mengukuhkan daya saing perniagaan Audio Visual Communication (AVC) Panasonic serta mengoptimumkan rangkaian pembuatan syarikat di Malaysia.

Panasonic berkata, pengeluaran televisyen di PAVCKM akan dihentikan, manakala pengeluaran pemain Blu-ray Disc akan dipindahkan ke China Hualu Panasonic AVC Networks Co., Ltd. (CHPAVC) di China menjelang akhir September 2026.

Selain itu, pengeluaran produk audio berjenama Technics akan dihentikan menjelang akhir Februari 2027 sebelum dipindahkan kepada syarikat lain dalam kumpulan Panasonic.

Susulan penyusunan semula berkenaan, operasi PAVCKM dijangka ditamatkan sepenuhnya pada penghujung Mac 2027, sekali gus memberi kesan kepada kira-kira 400 pekerja.

Baca juga:

Panasonic memaklumkan pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, agensi kerajaan serta Kesatuan Pekerja Industri Elektrik (Electrical Industry Workers’ Union – EIWU) bagi memastikan pekerja terjejas menerima sokongan sewajarnya termasuk bantuan penempatan pekerjaan dan peralihan kerjaya.

Bagaimanapun, Panasonic menegaskan langkah itu tidak melibatkan keseluruhan operasi kumpulan tersebut di Malaysia. Syarikat itu berkata aktiviti pembuatan produk audio di Malaysia akan diteruskan selain operasi jualan dan perkhidmatan bagi produk televisyen serta audio kekal berjalan seperti biasa.

Panasonic turut menyatakan Malaysia kekal sebagai salah satu hab penting kumpulan itu di rantau ini dengan kira-kira 12,000 pekerja terlibat dalam pelbagai fungsi termasuk pembuatan bernilai tinggi, penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta aktiviti korporat.

Related Posts