Pakar beri amaran, duduk lebih 10 minit di tandas boleh tingkatkan risiko buasir | The Reporter

Pakar beri amaran, duduk lebih 10 minit di tandas boleh tingkatkan risiko buasir

duduk lebih 10 minit di tandas
Gambar hiasan

Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.


Pakar memberi amaran bahawa, duduk terlalu lama di tandas boleh meningkatkan risiko buasir dan melemahkan otot pelvik.

Pakar bedah kolorektal di University of Texas Southwestern Medical Center, Dr. Lai Xue berkata, duduk terlalu lama memberi tekanan pada saluran darah di sekitar dubur, sekali gus meningkatkan kemungkinan buasir.

Graviti menarik bahagian bawah tubuh, menyebabkan darah sukar mengalir kembali ke atas. Ini menyebabkan saluran darah sekitar dubur membesar dan membengkak.

“Darah mudah masuk, tetapi sukar untuk keluar semula,” katanya.

Sementara itu, profesor perubatan di Stony Brook Medicine, Dr. Farah Monzur menjelaskan, seseorang hanya perlu menghabiskan masa antara lima hingga 10 minit di tandas. Jika lebih lama, risiko masalah kesihatan seperti buasir dan masalah pelvik akan meningkat.

Selain itu, ketegangan semasa duduk di tandas boleh menyebabkan prolaps rektum, di mana bahagian usus besar terkeluar dari dubur. Tekanan berterusan pada otot pelvik juga menyebabkan kelemahan otot tersebut.

Pakar gastroenterologi, Dr. Lance Uradomo, menyarankan agar elakkan membawa telefon atau buku ke tandas untuk menghindari keinginan duduk terlalu lama. Beliau menyarankan supaya kita hanya duduk di tandas untuk jangka masa yang pendek.

Jika mengalami kesukaran membuang air besar, Dr. Xue menasihatkan agar berhenti selepas 10 minit, berjalan sedikit, dan pastikan pengambilan air yang cukup serta makan makanan kaya serat untuk melancarkan pembuangan najis.

Pakar juga mengingatkan, gejala seperti kesukaran membuang air besar atau duduk terlalu lama boleh menjadi tanda masalah kesihatan yang lebih serius, seperti kanser kolorektal, terutamanya jika berlarutan lebih daripada tiga minggu.

Sumber: WYFF

Related Posts