Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Seorang wanita yang dikenali sebagai Kak Nor berkongsi pengalaman pahit keluarganya di media sosial selepas terlibat dalam satu kemalangan jalan raya yang berlaku pada malam 7 Disember lalu di Kuala Pilah, Negeri Sembilan.
Dalam insiden tersebut, kereta yang dipandu anak menantunya bertembung dengan sebuah kereta lain yang didakwa hilang kawalan sehingga memasuki laluan bertentangan.
Kejadian tersebut menyebabkan anaknya, Mahirah Lop, mengalami kecederaan di kepala, lutut serta retakan tulang bahu. Situasi bertambah buruk apabila kebanyakan orang awam di lokasi kejadian lebih sibuk mengambil video untuk dimuat naik ke TikTok berbanding memberikan bantuan awal.
“Bayangkan ketika darah memancut-mancut akibat kecederaan yang terjadi pada anak saya, yang ada sanggup mengambil video dan buat live sehingga tiada seorang pun yang menelefon ambulans. Anak saya yang cedera menjerit meminta mereka menghubungi ambulans. Tetapi seorang pun tidak berbuat demikian.
“Kereta mereka hampir terjatuh gaung, tetapi mereka sanggup memegang telefon demi TikTok. Manakala para tonto-tonto pula sibuk menghulur bisnes kad kepada menantu saya,” katanya.
Tambah Kak Nor, walaupun ada beberapa individu yang cuba membantu, sebahagian besar hanya mengutamakan konten media sosial.
“Tak ke gila macam tu, orang tengah menghadapi saat-saat yang genting, hampa duk kira TikTok hampa,” ujarnya.
Kak Nor bagaimanapun merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak polis dan kakitangan hospital Kuala Pilah yang memberikan rawatan kepada Mahirah serta cucunya. Dia turut berterima kasih kepada ahli keluarga yang datang membantu.