Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO merangkap Exco Wanita UMNO, Nurulhidayah Ahmad Zahid, tampil memberikan pandangan terhadap kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal Saleh, yang mengajak ahli menentukan sama ada UMNO perlu “kekal atau keluar” daripada kerajaan.
Menurut Nurulhidayah, beliau tidak menafikan kenyataan itu lahir daripada rasa sayang dan kegelisahan akar umbi, malah mengakui peranan Pemuda sebagai suara semak dan imbang dalam parti. Namun, beliau menegaskan isu tersebut perlu dinilai dengan lebih matang daripada sudut prinsip kepimpinan dan disiplin organisasi.
Naratif “kekal atau keluar” bawa implikasi besar
Nurulhidayah berpandangan, naratif “kekal atau keluar, kita yang tentukan” bukan sekadar membuka ruang perbincangan dasar, sebaliknya membawa isyarat berat seolah-olah keputusan strategik parti boleh ditentukan melalui tekanan emosi dan mobilisasi segera.
Beliau mengingatkan bahawa dalam organisasi besar seperti UMNO, hala tuju parti tidak ditentukan oleh satu sayap, apatah lagi melalui tekanan terbuka di ruang awam yang boleh ditafsir sebagai ugutan politik dalaman.
Baca juga:
- Cuti umum Thaipusam & Hari Wilayah Persekutuan 1 Februari
- Buang sampah, meludah di Ibu Kota, kompaun hingga RM2,000
- Dakwaan Hamzah letak jawatan Ketua Pembangkang adalah palsu
Persepsi perpecahan dalaman UMNO
Tambah beliau, membawa isu hala tuju parti ke ruang awam dengan nada ultimatum membuka ruang persepsi bahawa UMNO sedang berpecah dari dalam. Keadaan itu, katanya, bukan sahaja melemahkan Presiden dan kepimpinan tertinggi, malah memberi kelebihan kepada lawan politik serta pemerhati.
Dalam hal ini, Nurulhidayah menegaskan bahawa keberanian bersuara perlu disertai kebijaksanaan menjaga maruah parti, khususnya dalam kalangan pemimpin muda.
Konvensyen wajar, mesej mesti beradab
Beliau turut mengakui konvensyen sebagai platform perbincangan adalah wajar. Namun, mesej yang mengiringi usaha tersebut perlu disampaikan dengan bahasa membina, berteraskan hujah dan adab, bukan emosi atau tekanan populariti.
Nurulhidayah menekankan bahawa UMNO bukan milik satu generasi, satu sayap atau individu paling lantang, sebaliknya sebuah amanah perjuangan panjang yang menuntut kesabaran, kebijaksanaan dan kesetiaan kepada struktur parti.
Dalam nada peringatan, beliau menegaskan bahawa bersuara adalah hak dan kegelisahan itu satu realiti politik, namun menggambarkan UMNO seolah-olah berada di persimpangan “kekal atau keluar” secara terbuka bukan budaya kepimpinan parti.










