Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengeluarkan kenyataan rasmi yang menjelaskan bahawa Presiden MOM, Tan Sri Norza Zakaria, tidak menggunakan dana kerajaan untuk membawa keluarganya ke Sukan Olimpik Paris 2024. Sebaliknya, semua perbelanjaan perjalanan dan penginapan keluarganya ditanggung sepenuhnya oleh beliau sendiri.
MOM menegaskan, Tan Sri Norza menggunakan dana peribadinya untuk menampung kos perbelanjaan keluarganya dan tidak ada sebarang dana kerajaan yang digunakan untuk tujuan tersebut.
Kehadiran Norza di Sukan Olimpik, termasuk keluarganya adalah mematuhi sepenuhnya peraturan yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) dan MOM.
MOM turut meminta semua rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara yang lebih penting, iaitu memberikan sokongan penuh kepada kontinjen negara yang bertanding di temasya sukan antarabangsa itu.
“Pada saat ini, adalah penting bagi kita sebagai rakyat Malaysia memberi tumpuan kepada perkara paling penting, iaitu menghulurkan sokongan tidak berbelah bahagi kepada atlet negara yang mewakili negara di pentas dunia.
“Marilah kita bersatu hati dan menyalurkan tenaga kita untuk meraikan pencapaian mereka dan menggalakkan usaha mereka,” jelas kenyataan tersebut.
Akses ‘Kuota Khas’ terhad
Mengenai kuota khas pula, MOM menjelaskan kuota khas yang diberikan kepada Presiden MOM adalah diperuntukkan khas untuk pucuk pimpinan mana-mana badan atau jawatankuasa Olimpik negara masing-masing, termasuk Presiden dan Setiausaha Agung, serta Ketua Negara dan Menteri Sukan.
Kuota tersebut juga hanya menyediakan akses ke kawasan VIP dan tidak meliputi akses ke padang permainan, bilik persalinan atau tempat penginapan atlet di Perkampungan Sukan.
Ia menjadikannya tidak pratiktal untuk jurulatih atau kakitangan sokongan menggunakan kuota tersebut yang tidak memberi akses yang diperlukan untuk menyokong atlet secara efektif. Maka disebabkan itu, pasukan sokongan kepada mana-mana atlet perlu diatur di luar akses IOC.
Dengan penjelasan ini, MOM berharap agar semua pihak dapat memahami situasi sebenar dan terus memberikan sokongan kepada atlet negara yang berjuang di Sukan Olimpik Paris 2024.
Sumber: Astro Awani








