Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming memuji ketegasan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas 20 pegawai Jabatan Imigresen dipecat akibat terbabit dalam skandal ‘counter-setting’, manakala 227 individu lain kini sedang disiasat.
Beliau berkata, tindakan itu membuktikan kerajaan Madani di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim komited membanteras rasuah demi memulihkan integriti perkhidmatan awam dan melindungi wang rakyat.
Baca juga:
- SPR umum tarikh PRN Johor 11 Julai, Negeri Sembilan 1 Ogos
- Kisah lelaki Johor temui makna kehidupan di Terengganu
- MMN bantah cadangan kemasukan terbuka jururawat Indonesia
Rampasan aset & pulihkan keyakinan
Kor Ming menjelaskan, kerajaan Madani menerusi langkah anti-rasuah setahun lalu telah berjaya merampas lebih RM5 bilion aset haram.
“Pemulihan aset ini bukan sekadar mengembalikan hak rakyat, malah memberi mesej jelas kepada dunia bahawa Malaysia serius menentang rasuah. Usaha ini akan meningkatkan kedudukan negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI),” katanya seperti dipetik MalaysiaGazette.
Reformasi undang-undang & mengurangkan kerenah birokrasi
Beliau turut menekankan kepentingan reformasi yang digerakkan kerajaan, termasuk Akta Perolehan Kerajaan 2025 yang menghapuskan budaya pembelian melampau dan Akta Iltizam Kecekapan Perkhidmatan Kerajaan 2025 yang dijangka mengurangkan kerenah birokrasi sehingga 25 peratus.
Menurutnya, langkah tersebut akan memodenkan pentadbiran kerajaan dan memberi kesan langsung kepada rakyat serta ekonomi.
Nga Kor Ming yakin dengan ketegasan SPRM dan pembaharuan yang dilaksanakan, Malaysia berupaya memperbaiki kedudukan CPI serta mencapai sasaran menjadi antara 30 negara paling rendah rasuah di dunia.








