Follow kami di Facebook, Instagram untuk info selektif setiap hari.
Bekas wartawan dan penerbit program hiburan TV3, Nas Ahmad, meninggal dunia pagi tadi akibat komplikasi jantung di Hospital Sungai Buloh. Allahyarham, yang berusia 63 tahun, menghembuskan nafas terakhir pada jam 9.49 pagi.
Menurut menantunya, Farhana Nazlin Mohamad, keadaan kesihatan Nas merosot sejak tengah malam apabila beliau mengalami kesukaran bernafas sebelum dikejarkan ke hospital.
“Malam tadi bapa mentua saya nampak susah bernafas, jadi kami hubungi ambulan. Beliau ditempatkan di zon merah untuk pemantauan rapi. Pagi tadi, semasa kami dalam perjalanan ke hospital, kami menerima berita pemergiannya,” katanya.
Difahamkan, Allahyarham sebelum ini pernah dirawat selama tiga minggu di hospital sama awal Syawal lalu akibat lebihan air dalam badan, namun dibenarkan pulang minggu lalu selepas menunjukkan tanda positif. Bagaimanapun, masalah jantung yang dihadapinya sejak 2022 menyebabkan kesihatan beliau sering turun naik.
Nas Ahmad, atau nama sebenarnya Mohd Nasir Ahmad, merupakan wartawan hiburan, penerbit dan pengacara yang cukup dikenali menerusi program Melodi, khasnya segmen popular “Terjah” pada era 1990-an dan 2000-an. Gaya penyampaiannya yang bersahaja dan berani menjadikan beliau figura ikonik dalam dunia hiburan tempatan.
Selepas meninggalkan TV3, beliau menubuhkan NAS Studio dan aktif berkongsi kandungan di media sosial termasuk saluran YouTube Nas Ahmad Terjah. Sepanjang hayatnya, Allahyarham turut dikenang sebagai individu yang memperjuangkan kebajikan artis dan insan seni tanah air.
Sejak Januari 2023, beliau dilaporkan mengalami kesukaran berjalan dan mudah mengah disebabkan penyakit jantung yang kronik.
Jenazah Allahyarham dibawa ke Surau As Sahabah, Seksyen 7 Kota Damansara, untuk solat jenazah dan akan dikebumikan selepas solat Zohor. Arwah meninggalkan seorang isteri, Norhayati, tiga anak dan dua cucu.