'Nak bersuara tak ada masalah, tapi jangan menuduh tanpa bukti' - Mohamad Sabu | The Reporter

‘Nak bersuara tak ada masalah, tapi jangan menuduh tanpa bukti’ – Mohamad Sabu

Mohamad Sabu hantar Notis Tuntutan susulan dakwaan tanpa bukti di media sosial
Mohamad Sabu hantar Notis Tuntutan susulan dakwaan tanpa bukti di media sosial

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik akaun media sosial yang didakwa membuat tuduhan tanpa bukti terhadapnya berkaitan isu bekalan Baja Padi 3 di Kedah.

Mohamad berkata, beliau tidak mempunyai masalah dengan mana-mana pihak yang mahu bersuara, namun menegaskan kebebasan itu tidak seharusnya digunakan untuk membuat tuduhan tanpa bukti atau sangkaan jahat.

“Nak bersuara, tak ada masalah. Tapi kalau dah sampai menuduh tanpa bukti, buat sangkaan jahat – itu dah cerita lain.

“Saya dah minta peguam hantar Notis Tuntutan kepada pemilik akaun berkenaan serta pemilik akaun-akaun lain yang dikenal pasti membuat perkara yang sama.

“Media sosial memberi ruang untuk bersuara, tetapi setiap kenyataan tetap datang dengan tanggungjawab,” katanya menerusi satu kenyataan.

Baca juga:

Tindakan itu dipercayai susulan satu hantaran tular yang mengaitkan Mohamad dengan isu kelewatan pembekalan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah.

Hantaran berkenaan antara lain mendakwa individu yang ditahan untuk membantu siasatan merupakan kontraktor, selain mempersoalkan mengapa Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan serta pihak lain tidak dikenakan tindakan.

Pemilik akaun berkenaan turut menggunakan perkataan “sakau” ketika membuat dakwaan terhadap pihak yang dikaitkannya dengan isu berkenaan.

Bagaimanapun, dakwaan dalam hantaran tersebut tidak disertakan bukti yang menunjukkan Mohamad terbabit dalam sebarang salah laku.

Sebelum ini, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuka kertas siasatan berhubung kelewatan pengagihan Baja Padi 3 kepada pesawah di Kedah susulan aduan yang diterima pada 26 Ogos lalu.

Related Posts