Follow kami di Facebook, Instagram, Telegram, X, Threads, TikTok & WhatsApp untuk info selektif setiap hari.
Baru beberapa hari ditayangkan di Netflix, filem dokumentari ‘Man On The Run’ mengundang pelbagai persepsi masyarakat.
Filem arahan dari Cassius Michael Kim yang juga merupakan penulis skrip dan penerbit eksekutif berkisarkan tentang skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan ahli perniagaan dalam buruan Jho Low.
Susulan itu juga, Najib Razak melalui peguamnya Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah meminta agar pihak pendakwaan mengambil tindakan segera terhadap perkhidmatan penstriman Netflix dengan mengeluarkan filem tersebut.
Muhammad Shafee mendakwa dokumentari berdurasi satu jam 38 minit itu sangat subjudis terhadap anak guamnya kerana perbicaraan 1MDB sedang berjalan, dan pendakwaan terikat dengan tanggungjawab untuk mengambil tindakan segera.
Ia turut memaparkan temubual Najib yang menafikan pembabitan dalam skandal terbabit, selain temu bual dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown dan bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas.
Dalam dokumentari berkenaan juga, Tommy dikatakan telah membuat kesimpulan sendiri mengenai kes tersebut di luar mahkamah.
Muhammad Shafee berkata, beliau juga akan menulis surat kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Beliau juga akan memfailkan permohonan untuk meneruskan prosiding pengkomitan (menghina mahkamah) terhadap bekas Peguam Thomas dan tindakan saman terhadap Pengarang Sarawak Report, Clare Rewcastle-Brown.
Sumber: Berita Harian, Netflix
Tak nak ketinggalan berita terkini? Sertai kami di Facebook, Instagram, X (Twitter), Telegram, WhatsApp dan Threads!